KUALA LUMPUR – Penggunaan elektrik keseluruhan di Semenanjung Malaysia menyusut ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu berikutan penutupan sementara perniagaan bagi mematuhi arahan kerajaan untuk duduk di rumah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, secara keseluruhannya, permintaan elektrik menyusut 1.9 peratus pada suku pertama tahun ini sebelum kesan menyeluruh Covid-19 dan tempoh PKP.
Penurunan ini disumbangkan oleh penggunaan elektrik bagi sektor industri dan komersil yang menyaksikan penyusutan antara 25 peratus hingga 50 peratus berikutan pemberhentian sementara operasi.
Namun, penggunaan elektrik bagi sektor kediaman melonjak naik antara 20 peratus hingga 50 peratus susulan pematuhan arahan untuk duduk di rumah dan aktiviti bekerja dari rumah.
Permintaan bagi bulan Mei 2020 turun 28 peratus berbanding Mei tahun lalu. TNB menjangkakan penggunaan elektrik akan menurun antara 7-15 peratus tahun ke tahun bagi 2020 berikutan kelembapan aktiviti sektor komersil.
Namun begitu, pendapatan entiti dikawal selia TNB dijamin dengan pertumbuhan permintaan sebanyak 1.8 peratus dan 2.0 peratus seperti yang ditetapkan oleh garis panduan Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dalam Tempoh Kawal Selia Kedua atau RP2 (2018 hingga 2020).
”Meskipun kami turut terkesan dari segi kutipan hasil, kami masih berdaya tahan disebabkan kunci kira-kira yang kukuh,” kata Amir.
TNB juga memperuntukkan RM150 juta untuk menampung dana bagi pemberian diskaun elektrik berperingkat antara 2 peratus hingga 50 peratus bermula April hingga September 2020 seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.
Untuk meringankan lagi beban rakyat ketika berdepan kesan wabak Covid-19, TNB juga menawarkan pelan bayaran berjadual selama enam bulan kepada kesemua 7.5 juta pelanggan, penangguhan surcaj lewat bayar dan penangguhan aktiviti pemotongan bekalan. – MalaysiaGazette