KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyelesaikan isu penyelewengan bekalan minyak masak bersubsidi yang didakwa dilakukan oleh empat pengarah syarikat.
Walaupun kementerian tersebut melakukan pemantauan rapi, Menterinya, Datuk Alaxender Nanta Linggi tidak menolak kemungkinan ada individu melakukan penyelewengan itu.
“Kalau ada kes tertentu biarlah SPRM buat kerjanya,” katanya kepada pemberita.
SPRM hari ini mengesahkan penahanan empat pengarah syarikat yang disyaki terbabit dalam sindiket penyelewengan kuota pembekalan minyak masak bersubsidi.
Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 41 tahun ditahan di Selangor dan Putrajaya petang semalam.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, penyelewengan minyak masak bersubsidi adalah isu ketirisan yang mengakibatkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit. – MalaysiaGazette