Home Utama Sesi persekolahan tingkatan 5 dan 6 bermula 24 Jun ini

Sesi persekolahan tingkatan 5 dan 6 bermula 24 Jun ini

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sesi persekolahan membabitkan kira-kira 500,000  pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan bermula pada Rabu, 24 Jun 2020.

Sehubungan dengan itu Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung berkata, satu ‘Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah’ telah disediakan sejak April lepas bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

Katanya, garis panduan yang disediakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu wajib diguna pakai oleh semua institusi berdaftar dengan kementerian.

“Untuk makluman semua, setelah mengambil kira pandangan dan nasihat KKM dan MKN, KPM telah menetapkan bahawa tarikh pembukaan semula sekolah untuk murid kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara adalah pada hari Rabu, 24 Jun 2020.

“Garis panduan ini juga telah digunakan kebolehanlaksanaan telah dicuba pakai di 12 buah sekolah bawah KPM dan 8 buah institusi pendidikan swasta pada awal Mei 2020,” katanya.

Menurut Mohd Radzi, hanya para pelajar yang sihat sahaja dibenarkan menjalani sesi persekolahan manakala mereka yang bergejajala perlu dibawa untuk melakukan pemeriksaan kesihatan segera.

Guru-guru yang bertugas, katanya, akan memeriksa suhu badan para pelajar sebelum mereka dibenarkan masuk ke kawasan sekolah dan menggunakan laluan yang disediakan untuk ke kelas masing-masing.

“Pelajar-pelajar akan diberi peringatan supaya tahap menjaga kebersihan diri dari masa ke semasa.,” katanya.

Mengenai waktu rehat, beliau berkata, sekolah akan memperkenalkan sesi rehat berperingkat selain makanan dan minum dijual dalam keadaan siap dibungkus.

“Ada tanda penjarakan, murid akan makan di kelas masing-masing dengan pengawasan guru. Ibu bapa digalakan menyediakan bekalan makanan untuk anak-anak mereka,” katanya.

Mohd Radzi juga menggalakkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berganding membuat persiapan sebelum sekolah dibuka dan beroperasi kelak.

Beliau juga memaklumkan bahawa aktiviti kokurikulum serta perhimpunan sekolah tidak akan dilaksanakan sehingga dimaklum kelak.

Jelas beliau, KPM akan mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini, pembelajaran di rumah akan diteruskan. Memandangkan guru-guru telah kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan-kemudahan yang ada di sekolah.

“Kami di Kementerian Pendidikan amat berharap agar pembukaan semula sekolah mulai 24 Jun 2020 ini berjalan lancar bagi membolehkan anak-anak dapat meneruskan persekolahan dalam keadaan selamat.

“Apa yang penting kita semua perlu terus patuh kepada arahan dan saranan Kerajaan. Sama-sama kita doakan agar keadaan akan pulih sepenuhnya dan semua murid akan dapat kembali ke sekolah,” ujarnya. –MalaysiaGazette

 

 

–MalaysiaGazette

Menyusul