Home Nasional SPRM Pahang tahan Sarjan didakwa terima rasuah

SPRM Pahang tahan Sarjan didakwa terima rasuah

Gambar hiasan

KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang anggota polis berpangkat Sarjan dari Balai Polis Trafik Kuantan bagi membantu siasatan berhubung pemberian rasuah berjumlah RM3,700.

Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan suspek berusia 37 tahun yang bertugas sebagai pembantu pegawai penyiasat trafik ditahan di pejabat SPRM Pahang di sini, petang ini.

“Suspek dipercayai menerima rasuah daripada syarikat membaiki kereta sebagai balasan mendapatkan kerja baik pulih kenderaan terlibat kemalangan yang disiasat Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Hairuzam berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh membawa hukuman di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di Temerloh, SPRM Pahang memperoleh perintah reman terhadap dua lelaki termasuk seorang warga Pakistan bagi membantu siasatan memberi rasuah kepada pegawai polis dari IPD Bera dekat sini, semalam.

Penolong Pendaftar Mahkamah Temerloh Hayatul Hafifie Hisham membenarkan suspek berusia 23 dan 32 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan dan pengawal keselamatan bangunan itu direman selama lima hari mulai hari ini.

Mereka didakwa memberi rasuah RM2,000 sebagai balasan untuk melepaskan seorang lagi warga Pakistan yang ditahan polis kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. – Bernama