KUALA LUMPUR – Gara-gara ingkar arahan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol, lapan individu masing-masing didenda antara RM2,200 hingga RM2,400 oleh Mahkamah Majistret Jenayah hari ini.
Kesemua mereka mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol yang boleh dihukum denda maksimum RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan serta lesen percubaan dibatalkan.
Tertuduh Ng Wei Kean, 28; Ong Hup Heng, 58; Lim Wang Sin, 36; Ooi Choo Ching, 38;Tan Wah On,38; Tan Peng Koon,50; Mak Wai Ming,57 dan M, Segaran,51 berdiri tenang di kandang pertuduhan sepanjang pertuduhan dibuat.
Kesemua mereka kemudian mengaku bersalah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol melebihi had kandungan 80 miligram yang ditetapkan iaitu antara 86 miligram hingga 149 miligram dalam 100 mililiter darah.
Kelapan-lapan individu itu ditahan dan diperiksa di sekatan jalan raya polis Op Alkohol di Jalan Kuchai Lama, Jalan, Kepong, Jalan Kerinchi Link dan Jalan Duta Kiara antara jam 10.15 malam 10 Jun dan 12.11 tengah malam 11 Jun 2020.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Abdullah Khazali.
Abdullah memohon dan mencadangkan mahkamah supaya menjatuhkan hukuman yang setimpal dan berbentuk pengajaran terhadap kesalahan lapan tertuduh itu.
Bagaimanapun kesemua mereka yang bekerja sendiri dan menjalankan perniagaan tidak diwakili peguambela dan merayu kepada Majistret supaya dikenakan hukuman denda serendah mungkin.
Masing-masing mendakwa mempunyai tanggungan terhadap isteri, anak dan orang tua dan mengakui menyesal atas perbuatan itu dan sudah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut selepas ini.
Puteri Nursheila menjatuhkan hukuman denda antara RM2,200 hingga RM2,400 setiap seorang bagi setiap pertuduhan dan jika gagal membayar denda akan dihukum penjara empat hingga lima minggu. – MalaysiaGazette