WASHINGTON – Jumlah kes positif Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) melepasi 2 juta kes semalam.
Analisis Reuters mendedahkan laporan terbaharunya itu di negara kuasa besar dunia itu turut mendahului carta dalam kes kematian.
Sementara Jabatan Kesihatan di negara tersebut meminta individu yang menyertai protes jalanan ekoran kematian rakyatnya berkulit hitam pada minggu lalu perlu menjalani ujian saringan serta merta.
Jangkitan baharu Covid-19 meningkat sedikit di AS selepas menunjukkan penurunan selama lima minggu.
Faktor ujian saringan melibatkan jumlah orang yang ramai difahamkan menyumbang kepada peningkatan itu yang mencecah 545,690 ujian saringan dalam sehari pada 5 Jun lalu, menurut Projek pengesanan Covid-19 atau CovidTracking Project http://covidtracking.com.
Peningkatan kes positif sejak akhir-akhir ini disebabkan oleh faktor lebih ramai orang yang keluar dari kediaman dan membuka perniagaan masing-masing dalam kebanyakan sektor khususnya secara berperingkat di 50 negeri yang dibenarkan kerajaan Donald Trump.
Selain itu, protes besar-besaran di peringkat nasional tanpa penjarakan sosial ekoran kematian seorang rakyat berkulit hitam, George Floyd, dikhuatiri bakal mengundang peningkatan mendadak kes Covid-19 selepas ini.
Jabatan Kesihatan Amerika Syarikat percaya kes pertama Covid-19 direkodkan pada Januari lalu dan merekodkan 1 juta kes pada 28 April lalu.
Setakat Jun ini, secara purata 21,000 kes baharu dilaporkan setiap hari berbanding purata 30,000 kes sehari pada April dan 23,000 kes pada Mei lalu.
Namun jumlah angka kematian di AS kini melepasi paras 120,000 kes, tertinggi di dunia setakat ini. – Agensi