Home Utama Dua anggota polis mengaku tidak bersalah minta rasuah

Dua anggota polis mengaku tidak bersalah minta rasuah

Seorang anggota polis diiringi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghadapi pertuduhan kes menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 11 JUN 2020

SHAH ALAM – Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 1 hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima wang suapan berunsur rasuah daripada warga asing pada Disember lalu.

Kedua-dua tertuduh yang berpakaian baju kemeja T biru muda dan kemaja hitam hadir ke mahkamah bersama ahli keluarga dan rakan-rakan pada jam 8.50 pagi.

Mereka membuat pengakuan tidak bersalah semasa pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan hakim, Rozilah Salleh.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Shaiful Rizal Osman, 36, berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh didakwa secara rasuah meminta suatu suapan wang sebanyak RM5,000 daripada Atanan Jhebueraheng warga Thailand sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Nordinn Chebueraheng, Saifudin Madeng dan Hakimee Sabideng.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 10.40 malam 23 Disember 2019 hingga jam 1.33 24 Disember 2019 jam di JSJN IPD Sungai Buloh, Balai Kampung Baru Subang di daerah Petaling.

Manakala dalam pertuduhan kedua, Shaiful Rizal uga dengan niat bersama tertuduh kedua Muhammad Zuhair Mazlan, 27, didakwa menerima suatu wang suapan berupa rasuah sebanyak RM3,000 daripada Nordin sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas tiga individu sama.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi yang sama pada jam 3.40 pagi hingga 4 pagi 24 Disember 2019 dan dituduh mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika disabitkan bersalah, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Saiful Rizal diwakili Peguambela, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff manakala Muhammad Zuhair tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab mencadangkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan untuk kedua-dua tertuduh.

Beliau dalam hujah menjelaskan, ini kerana kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh adalah sangat serius yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan bertujuan untuk memastikan kehadiran kedua-dua tertuduh bagi setiap tarikh kes yang akan ditetapkan mahkamah selepas ini.

Sebagai syarat tambahan beliau turut mengemukakan cadangan supaya kedua-dua tertuduh dikehendaki melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Justeru beliau juga mahu kes pendakwaan ke atas mereka dibicarakan bersama bawah Seksyen 165 Akta SPRM.

Peguambela Shaiful Rizal bagaimanapun merayu mahkamah supaya menetapkan ikat jamin yang minima dengan mengambil kira faktor tertuduh berpendapatan sebanyak RM2,800 sebulan selain mempunyai tanggungan isteri dan tiga orang anak.

Katanya, Shaiful Rizal juga terpaksa menanggung kos perubatan anak keduanya yang mempunyai masalah kesihatan serius yang memerlukan pengawasan setiap masa.

Sementara itu, Muhammad Zuhair merayu meminta mahkamah mengurangkan ikat jamin kerana isterinya tidak bekerja selain menanggung seorang anak dan ibu selain memohon melaporkan diri di pejabat SPRM Johor setiap bulan.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Rozillah  menasihatkan penjamin Shaiful Rizal dan Muhammad Zuhair yang merupakan anak perempuan Shaiful Rizal supaya mengambil serius kes tuduhan rasuah itu.

“Saya nak maklumkan kes rasuah yang dihadapi kamu berdua (tertuduh) adalah sangat serius dan sebenarnya tidak boleh diberi jamin, kalau diberi jaminan kamu perlu memastikan sentiasa hadir sepanjang perbicaraan berlangsung, jika gagal membayar wang jaminan waran tangkap akan dikeluarkan dan kamu perlu duduk di dalam lokap sehingga kes selesai.

“Bagai dua penjamin yang mahu mewakili kedua-dua tertuduh, anda sanggup tak menjadi penjamin mereka? jika sanggup perlu memastikan kedua-dua tertuduh hadir ke sebutan kes, perbicaraan atau sambung perbicaraan pada tarikh-tarikh yang akan ditetapkan.

“Jika tertuduh gagal maka dia akan dikeluarkan waran tangkap dan masuk lokap manakala sebagai penjamin sekiranya anda gagal memastikan tertuduh hadir ke mahkamah serta diri kamu sendiri ke setiap kes tanpa memaklumkan ketidakhadiran ke mahkamah, anda akan dikeluarkan surat tunjuk sebab kenapa wang jaminan tidak boleh dirampas.

“Sebagai penjamin juga kamu jangan beri alasan saya tinggal sana atau tinggal jauh tak dapat hadir dan sebagainya sebagai alasan tidak dapat hadir ke mahkamah. Pastikan maklumkan kepada mahkamah kamu atau OKT sekiranya tak dapat hadir ke mahkamah,” katanya.

Beliau kemudian membenarkan tertuduh pertama diikat jamin RM5,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Selangor manakala tertuduh kedua dibenarkan wang jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM Johor pada minggu pertama setiap bulan serta pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 16 Julai ini sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan kes. – MalaysiaGazette