Home Utama Lebih 70,000 pemandu teksi, e-hailing belum dapat BPN

Lebih 70,000 pemandu teksi, e-hailing belum dapat BPN

Shamsubahrin Ismail

KUALA LUMPUR – Kira-kira 30,000 pemandu teksi dan dan 40,000 pemandu e-hailing yang mempunyai lesen kenderaan awam (PSV) didakwa masih tidak menerima bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Pengarah dan Pengasas Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail mendakwa, bantuan kewangan secara sekali agih masing-masing sebanyak RM600 dan RM500 masih tertunggak yang sepatutnya diterima sebulan lalu.

“Lebih 30,000 pemandu teksi tak terima bantuan RM600 one off dan 40,000 pemandu e-hailing tak terima bantuan BPN one-off RM500 yang dijanjikan oleh kerajaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya seru kerajaan dan Menteri Kewangan sila bantu dan ambil perhatian kes ini, kalau boleh salur bantuan seberapa cepat yang mungkin.

“Semua pemandu teksi dan e-Hailing masih tak dapat jana pendapatan seperti dulu masih walaupun kerajaan membuka hampir semua sektor ekonomi,” katanya pada sidang media, di pejabatnya Wisma Central, hari ini.

Berdasarkan syarat dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), hanya untuk pemandu e-hailing sepenuh masa dan kenderaan dipandu memiliki Permit Kenderaan e-Hailing (eVP) layak menerima BPN.

Pemandu turut diisyaratkan memperoleh pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM1,200 iaitu bayaran tambang kasar, berdasarkan jumlah kutipan tambang untuk tiga bulan berturut-turut pada November dan Disember 2019 serta Januari lalu.

Sekiranya pendapatan bulanan mereka kurang dari RM1,200, pemandu boleh membuat rayuan di portal rasmi APAD mulai Mei lalu.

Jika pemandu e-hailing menerima bantuan RM600 bagi pemandu teksi sebelum ini, mereka tidak layak untuk menerima insentif RM500.

Shamsubahrin menegaskan, bantuan itu perlu disegerakan bagi membantu pemandu teksi dan e-hailing yang masih tidak dapat memulihkan pendapatan susulan kekurangan pelanggan.

“Rakyat masih dalam dilema dan was-was untuk keluar rumah. Kerajaan harus terima hakikat walaupun jalan sesak dan ramai orang keluar kerja tapi ekonomi tak bergerak.

“Walaupun ada pelanggan, tapi jumlah sangat sedikit dengan pendapatan RM20 hingga RM30 sehari dan masih tak boleh jana pendapatan serta tampung kos operasi,” katanya.

Lebih menyedihkan apabila ada pengusaha-pengusaha teksi tertentu didakwa memaksa pemandu-pemandu teksi mereka membayar sewa bulanan tanpa memberi sebarang moratorium.

“Pemandu teksi dikerah supaya bayar sewa, kalau sehari dapat 3 penumpang, macam mana nak bayar sewa teksi.

“Bila datang Covid-19, pengusaha teksi macam Kumpulan Naza, kerajaan bagi berbilion keuntungan takkan tak boleh beri 6 bulan moratorium.

“Kalau syarikat Public Cab dan Sunlight boleh bantu, kenapa syarikat Melayu tak boleh bantu,” tegasnya.

Selain pemandu, pihak pengusaha teksi dan e-Hailing juga didakwa diberi tekanan untuk memperbaharui ePSV ketika negara masih dalam tempoh PKP fasa kedua.

“APAD ada hantar surat kepada operator e-Hailing untuk renew eVP untuk setiap pemandu di bawahnya di mana bayarannya antara RM110 hingga RM150 setahun bagi setiap pemandu.

“Tarikh harus dibayar waktu PKP, tarikh perlu dibayar pun waktu PKP.

“Ada syarikat bayar RM1 juta, walaupun dia pesaing saya, tapi dia kena bayar waktu PKP, bisnes tiada, kalau tak bayar lesen tamat,” dakwanya.

Shamsubahrin turut memuji sikap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang berjanji membantu masalah yang dihadapi pengusaha e-hailing, sekurang-kurangnya menangguhkan tarikh pembaharuan lesen ePSV.

“Saya ada berhubung Menteri Pengangkutan, dia tak berat angkat telefon orang, dia sudi dengar luahan pemandu teksi.

“Dia tak janji tapi bantu lewatkan pembayaran. Kita wajib bayar tapi diberi tempoh mungkin tahun depan atau 6 bulan bayar beransur-ansur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Agaknya kumpulan Naza boleh saman kot Datuk ini.

    “Bila datang Covid-19, pengusaha teksi macam Kumpulan Naza, kerajaan bagi berbilion keuntungan takkan tak boleh beri 6 bulan moratorium.

    Betul tuduhan diatas.

Comments are closed.