KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah membuka semula surau di semua 24 R&R dan 2 Restoran Jejantas di semua lebuhraya kendaliannya sejak 10 Jun lalu selari dengan pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Susulan itu, pelanggan lebuh raya dibenarkan untuk menunaikan solat di surau-surau yang terletak di R&R arah utara dan selatan seperti Gurun, Gunung Semanggol, Sungai Perak, Tapah, Rawang, Dengkil, Seremban, Ayer Keroh, Pagoh, Machap, Gelang Patah, termasuk Restoran Jejantas Sungai Buloh dan Ayer Keroh.
Begitu juga di sepanjang Pantai Timur, surau-surau di 3 R&R yang terletak di lebuh raya LPT2 seperti Perasing, Paka dan Ajil (kedua-duanya Arah Timur).
“Dalam norma baharu ini, perjalanan di lebuhraya kini akan memakan masa lebih lama jika pelanggan berhenti di R&R.
”Ini adalah kerana SOP keselamatan akan dilaksanakan dengan sepenuhnya terhadap semua pelanggan yang singgah di R&R kami,” jelas Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS.
Menurutnya, walaupun pemeriksaan suhu badan pelanggan dijalankan di setiap R&R, PLUS turut memberi penekanan terhadap kebersihan makanan, di samping kebersihan di seluruh kawasan R&R, termasuk kawasan meletak kenderaan.
Oleh itu, orang ramai diminta untuk turut mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan diri sendiri, selari dengan slogan Kerajaan, Kita Jaga Kita.
Kebersihan di R&R dan Restoran Jejantas akan memberi keselesaan buat pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan rentas negeri pada ketika ini.
Penanda penjarakan sosial turut disediakan di setiap ruangan solat surau untuk memastikan jarak 1 meter.
Penanda turut diletakkan di kawasan mengambil wuduk.
Bagaimanapun, pelanggan lebuhraya digalakkan untuk membawa sejadah dan telekung sendiri untuk memastikan kebersihan diri terjaga ketika bersolat.
Bergantung pada luas dan ukuran setiap surau, poster pemberitahuan mengenai had jumlah pengguna surau turut diletakkan untuk rujukan pengguna dan pendaftaran diri diperlukan untuk tujuan pengesanan kontak.
Namun begitu, surau-surau yang terletak di kawasan awam di plaza tol masih lagi ditutup sehingga diberitahu kelak. – MalaysiaGazette