Home Nasional Taska Genius Perpaduan beroperasi 16 Jun

Taska Genius Perpaduan beroperasi 16 Jun

KUALA LUMPUR – Operasi Taska Genius Perpaduan di bawah Kementerian Perpaduan Negara akan mula beroperasi pada 16 Jun.

Perkara itu diputuskan semalam semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pemulihan (PKPP).

Kementerian Perpaduan Negara berkata, terdapat beberapa garis panduan yang ditetapkan termasuklah aktiviti dan protokol oleh pendidik sebelum, semasa dan
selepas Taska Genius Perpaduan beroperasi.

Pembukaan Taska Genius Perpaduan ini adalah berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Penularan Covid-19 Pasca Perintah Kawalan Pergerakan bagi Keselamatan Warga Taska yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) garis panduan Kesihatan bagi memastikan kanak-kanak sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan selamat di kawasannya.

“Tanggungjawab ibu bapa dan/atau penjaga sebelum menghantar anak-anak ke Taska Genius Perpaduan, tanggungjawab ibu bapa dan/atau penjaga dan pendidik semasa ketibaan anak-anak di Taska Genius Perpaduan; tanggungjawab ibu bapa dan/atau penjaga dan pendidik semasa menjemput anak-anak di Taska Genius Perpaduan,” kata kenyataan itu hari ini.

Sehingga kini terdapat sebanyak 41 buah Taska Genius Perpaduan di seluruh negara dengan kanak-kanak berjumlah 947 orang.- MalaysiaGazette