Home Ekonomi Le Renaissance, Amber Court jana pulangan sewa tertinggi 2019

Le Renaissance, Amber Court jana pulangan sewa tertinggi 2019

KUALA LUMPUR- Laman web hartanah, iProperty.com.my menyenaraikan Le Renaissance di Bukit Kepayang, Negeri Sembilan dan Amber Court di Genting Highlands sebagai kediaman hartanah berstrata yang memberikan kadar pulangan hasil sewa tertinggi di Malaysia pada 2019.

Dalam satu kenyataannya, iProperty.com berkata, kadar pulangan hasil sewa Le Renaissance adalah 11.1 peratus dan merupakan pilihan terbaik penyewa yang berkeluarga kerana saiz binaan yang luas serta dilengkapi empat bilik tidur.

Selain berada di persekitaran yang selamat, kondominium pegangan kekal itu juga berhampiran dengan kemudahan asas seperti sekolah, pusat membeli-belah, Tesco dan lebuh raya.

“Walaupun ia merupakan hartanah yang agak lama tetapi diselenggara dengan rapi di samping mempunyai ciri-ciri hartanah yang baik iaitu hampir dengan pusat bandar raya (Seremban), saiz unit yang luas, kawalan keselamatan yang ketat dan kepadatan rendah.

“Ia adalah satu-satunya kondominium yang melepasi paras pulangan sewaan 10 peratus dan turut tersenarai sebagai salah satu kondo  yang mencatatkan  keuntungan modal terbaik pada 2018,” katanya.

Manakala Amber Court pula, meraih pulangan hasil kedua tertinggi di Malaysia sebanyak 8.8 peratus.

Hartanah yang terletak di Genting Highlands itu adalah pangsapuri pegangan bebas setinggi 20 tingkat yang mana kebanyakannya disewa sebagai inap desa kepada pelancong yang mahukan penginapan selesa pada harga berpatutan.

“Walaupun ia merupakan apartmen yang lama, kekurangan tempat penginapan selama musim puncak di Genting Highlands dapat menjadi alasan utama permintaan penyewa pada Amber Court yang berterusan.

“Minat ini ditambah dengan harga rata-rata hartanah Amber Court yang tidak begitu meningkat selama bertahun-tahun, boleh menjadi sebab tambahan mengapa hasil sewaannya meningkat hampir sembilan peratus pada tahun 2019,” kata kenyataan tersebut.

Tempat ketiga adalah Larkin Utama yang menjana pulangan hasil sewa sebanyak 8.5 peratus pada 2019.

Apartmen pajakan kelas tengah yang dibina pada 1999 ini masih kompetitif di pasaran rumah sewa di Johor Bharu kerana lokasinya yang strategik berhampiran dengan Kelab Golf Royal Johor, serta kemudahan lain seperti Pusat Pakar KPJ Puteri, Terminal Bas Larkin, Taman Bandar Merdeka dan Danga Bay City Mall; bersama dengan institusi pendidikan seperti Sekolah Kebangsaan Larkin 2 dan Sekolah Menengah St Joseph.

Tempat keempat adalah Berjaya Times Square di Kuala Lumpur yang menjana kadar pulangan hasil sewa sebanyak 6.02 peratus diikuti Plaza 393 (enam peratus); Jazz Suites @Vivacity, Kuching, Sarawak (5.83 peratus) dan terakhir The Palladium yang terletak di Keramat, Kuala Lumpur (5.71 peratus).

Menurut iProperty.com.my senarai tersebut adalah berdasarkan aplikasi data raya iProperty.com.my dan iPropertyiQ.com. – MalaysiaGazette