Home Nasional PTPTN tabung kewangan masa depan pendidikan anak pendeposit

PTPTN tabung kewangan masa depan pendidikan anak pendeposit

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd (PESB), Roslan Abdullah (kanan) menyerahkan replika kunci kepada pemenang, Siti Sara Arshad pada Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Utama Cabutan Wow! SSPN-i Plus 2019 di Pusat Proton 4S Kuala Selangor, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 13 JUN 2020.

KUALA SELANGOR – Penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah untuk memartabatkan lagi masyarakat melalui penabungan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kearah melahirkan ‘hero-hero’ yang berjaya kepada masyarakat.

Dengan itu, menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, PTPTN kini berubah kepada sebuah tabung pendidikan dalam merancang pendidikan tinggi anak-anak pendeposit.

“PTPTN ditubuhkan sejak tahun 2004 lagi yang pada masa itu kerajaan melihat kepentingan pendidikan tinggi sebagaimana kerajaan telah menubuhkan Tabung Haji untuk merancang kewangan pada umat Islam untuk menunaikan haji.

“Kerajaan menubuhkan SSPN dibawah PTPTN untuk melihat SSPN sebagai perancang kewangan kearah pendidikan tinggi masyarakat,” katanya sempena majlis penyampaian hadiah pemenang utama cabutan WOW! SSPN-i Plus (Tahunan) 2019 di sini hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid, Pengurus Besar PTPTN Selangor, Rohaida Deris dan Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran, Rina Abdul Rahman.

Sebelum ini, PTPTN bertindak sebagai badan untuk menguruskan pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pengajian tinggi kepada para siswa dan siswi yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Ahmad Dasuki berkata, sejak penubuhan PTPTN pada 2004, skop baharu badan itu dilihat sesuai dengan hala tuju kerajaan yang memfokuskan kepada kepentingan pendidikan tinggi sebagaimana tertubuhnya Tabung Haji bagi merancang kewangan pada umat Islam untuk menunaikan haji.

Dalam pada itu, menurutnya, PTPTN kini berhasrat untuk menarik lebih ramai pendeposit untuk membuat simpanan kepada akaun SSPN-i.

Ini kerana semua jenis simpanan dalam akaun tersebut kerana terdapat banyak kelebihan faedah dan manfaat yang akan diperoleh kepada pendeposit SSPN malah ia turut dijamin oleh kerajaan.

“Ini adalah produk PTPTN sebagai satu agensi di bawah kerajaan dan produk ini adalah dijamin oleh kerajaan.

“Dengan manfaat yang banyak daripada kerajaan kepada pendeposit yang menyimpan itulah hasrat kami untuk memastikan setiap rumah dan keluarga mempunyai satu akaun SSPN bagi memberikan peluang kepada semua rakyat mengambil insentif yang diberikan oleh kerajaan sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu, sempena sambutan Aidilfitri pada kali ini, PTPTN turut memperkenalkan program Jom Beraya Jom Menyimpan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM261,000 untuk para pendeposit SSPN-i.

“Bersempena kempen yang telah kita jalankan adalah Jom Beraya Jom Menyimpan. Kita sasarkan keluarga dan anak-anak yang dapat duit raya memilih SSPN sebagai tabung pilihan.

“Kempen ini bermula 18 Mei hingga 30 Jun yang melibatkan seramai 1,015 pendeposit iaitu pendeposit sedia ada ataupun pendeposit baharu layak untuk memenangi cabutan hadiah ini yang nilai keseluruhan adalah berjumlah RM261,000,” tambah Ahmad Dasuki.

Ditanya mengenai sasaran deposit bagi tahun ini, Ahmad Dasuki mengjangka PTPTN akan memperoleh sebanyak RM1.05 bilion jumlah deposit pada penghujung tahun ini.

“Untuk tahun ini, kira sasarkan jumlah deposit adalah sebanyak RM1.5 bilion dan kita mengharapkan dengan kempen-kempen yang kita adalah setiap bulan akan meningkatkan lagi jumlah deposit,” katanya lagi.

Untuk rekod, jumlah deposit SSPN bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini adalah sebanyak RM385.34 juta berbanding RM205.32 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM135.02 juta. – MalaysiaGazette