Home Nasional Warganegara, pemastautin wajib patuhi 4 arahan elak kena tindakan

Warganegara, pemastautin wajib patuhi 4 arahan elak kena tindakan

Warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang baru pulang dari luar negara wajib melakukan saringan gejala dan pengambilan sampel Covid-19.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang baru pulang dari luar negara wajib melakukan saringan gejala dan pengambilan sampel Covid-19.

Proses itu akan dilaksanakan di pintu masuk antarabangsa dan mereka wajib mematuhi empat arahan mandatori Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka akan diberikan surat arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah, pemakaian gelang tangan (wristband) selama tempoh yang ditetapkan.

Malah jelas beliau, mereka juga diwajibkan mengisi borang Home Assessment Tool dan memastikan memuat turun aplikasi MySejahtera.

Arahan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah ini adalah arahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (pindaan 2020) (Akta 342) di mana sekiranya individu berkenaan didapati melanggar arahan, mereka boleh disabit dengan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta 342.

“Gelang tangan (wristband) akan dipakaikan kepada pengembara ini sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing dan ia wajib dipakai sepanjang tempoh pengawasan pemerhatian di rumah.

“Sekiranya gelang tangan tersebut ditanggalkan sebelum tamat pemerhatian tamat, individu tersebut akan dikenakan tindakan, yang mana gelang ini akan ditanggalkan oleh pegawai yang diberi kuasa selepas tempoh pengawasan dan pemerhatian,’ katanya dalam sidang media situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, KKM juga mengingatkan orang awam yang telah diletakkan di bawah arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah agar sentiasa mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh KKM.

Katanya, mereka perlu kekal berada di dalam rumah sepanjang tempoh yang ditetapkan, mengasingkan diri daripada ahli keluarga yang lain dan mengelakkan ahli keluarga terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

Malah nasihat beliau lagi, mereka juga perlu sentiasa mengamalkan penjagaan kesihatan diri yang baik seperti membasuh tangan dengan air atau sabun, atau menggunakan cecair pembasuh tangan dan memastikan tidak berkongsi peralatan peribadi dengan ahli keluarga yang lain.

“Ahli keluarga bagi individu yang menjalankan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah ini juga memainkan peranan yang penting dengan sentiasa mengingatkan individu berkenaan mematuhi arahan yang telah ditetapkan.

“Tanggunggjawab individu dan ahli keluarga berkenaan adalah sangat penting kepada masyarakat bagi mengelakkan penularan Covid-19 ini,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette