Home Nasional KKMM siap siaga jika kempen PRK Chini digalak secara dalam talian

KKMM siap siaga jika kempen PRK Chini digalak secara dalam talian

Bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

PEKAN – Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah bersiap siaga dalam aspek capaian internet jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalakkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dilakukan menerusi media sosial.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang telah memulakan kerja menaik taraf dan meluaskan capaian internet di kawasan DUN Chini sejak minggu lepas.

“SKMM telah membuat ujian pada 27 Mei lalu di semua 15 pusat daerah mengundi (PDM) dan mendapati terdapat beberapa kawasan yang agak lemah dari aspek capaian internet dengan capaian paling lemah di PDM Felda Chini 3.

“Penambahbaikan dibuat secara berperingkat oleh semua syarikat telekomunikasi utama di sini dan ujian di PDM Felda Chini 3 hari ini mendapati ada penambahbaikan dari segi capaian dan diharapkan ia lebih baik menjelang hari penamaan calon (pada 20 Jun),” katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Internet Felda Chini 1 di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah SKMM Pahang Zahari Ismail, Pengurus Besar Telekom Malaysia Pahang Datuk Zulfikri Hashim dan Pengarah Penerangan Pahang Mohd Salmun Mustafa. – Bernama