Home Dunia Korea Utara ancam tindakan ketenteraan ke atas Korea Selatan

Korea Utara ancam tindakan ketenteraan ke atas Korea Selatan

Kim Yo Jong. foto AP

SEOUL – Korea Utara memberi amaran tindakan balas terhadap Korea Selatan yang boleh melibatkan tentera berikutan peningkatan ketegangan terbaru terhadap pembelot-pembelot dari Korea Utara yang telah menghantar balik propaganda dan makanan.

Amaran itu disuarakan oleh Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin Korea Utara melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita KCNA.

“Dengan menggunakan kuasa saya yang diberi kuasa oleh pemimpin tertinggi, parti dan negara kita, saya memberikan arahan kepada … jabatan yang bertanggung jawab atas urusan dengan musuh untuk secara tegas melakukan tindakan selanjutnya,” kata Yo Jong.

Kenyataan Yo Jong itu tidak menyatakan tindakan lanjut yang akan dilakukan.

Korea Utara berbuat demikian beberapa hari selepas Korea Selatan mengambil tindakan undang-undang terhadap pembelot yang telah menghantar bahan-bahan seperti beras dan risalah anti- Korea Utara, biasanya melalui belon atau dalam botol yang dilepaskan ke laut.

Korea Utara telah menzahirkan rasa marah terhadap para pembelot dan untuk melahirkan rasa tidak senangnya sejak seminggu terakhir ini, Pyongyang telah memutuskan hubungan komunikasi antara Korea dan mengancam akan menutup pejabat penghubung antara kedua pemerintah.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki hubungan dengan Korea Utara, pemerintahan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berusaha untuk mencegah kempen risalah dan beras.

Penganalisis mengatakan Korea Utara nampaknya menggunakan isu risalah untuk meningkatkan tekanan pada Korea Selatan di tengah-tengah rundingan usaha menghapuskan program senjata nuklear yang terhenti.

Risalah itu hanya dijadikan alasan atau justifikasi untuk meningkatkan krisis dan menggertak Seoul untuk mendapatkan apa yang diinginkannya,” kata Duyeon Kim, Penasihat Kanan di International Crisis Group, sebuah organisasi bebas yang berpusat di Belgia.

Pyongyang merasa dikhianati dan dikelirukan oleh ramalan Seoul bahawa Amerika Syarikat akan menarik balik beberapa sekatan sebagai pertukaran untuk Korea Utara menutup pusat reaktor nuklearnya dan kesal kerana risalah dan latihan ketenteraan Amerika Syarikat-Korea Selatan masih berterusan, kata Duyeon. – MalaysiaGazette