KUALA KRAI – Projek naik taraf landasan untuk melaksanakan khidmat tren baharu Diesel Multiple Unit (DMU) yang lebih laju dan moden bagi menggantikan tren konvensional sedia ada berjalan lancar, kata Pengurus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Wilayah Timur, Redzuan Abdullah.
Beliau berkata, KTMB sedang giat melaksanakan projek naik taraf landasan, laluan jambatan termasuk stesen kereta api bagi laluan Pantai Timur bermula dari Tumpat sehingga Gua Musang sejauh lebih 200 kilometer itu.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, proses naik taraf itu sedikit tergendala dan lebih lancar sebaik sahaja PKP dilonggarkan dan berakhir nanti.
“Apabila tren DMU ini beroperasi nanti, perjalanan akan dapat dijimatkan kerana kelajuannya boleh mencapai sehingga 100 kilometer sejam berbanding tren konvensional sedia ada iaitu antara 50 ke 60 kilometer sejam sahaja,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata, proses naik taraf itu membabitkan beberapa fasa sehingga ke Gemas, Negeri Sembilan dan bagi laluan Pantai Timur adalah pada fasa B dan C membabitkan Gua Musang sehingga ke Mentakab, Pahang.
Redzuan berkata, bagi fasa C iaitu Tumpat ke Gua Musang, proses naik taraf sudah di peringkat akhir manakala bagi fasa B antara Gua Musang sehingga Mentakab telah siap lebih 70 peratus.
“Teknologi DMU ini adalah dari China dan kita dapat jangkakan kemungkinan penggunaan tren baharu ini dapat digunakan pada awal tahun hadapan dan ia juga bergantung kepada pihak Kementerian Pengangkutan dan KTMB nanti,” katanya.
Pada September tahun lepas, Pengurus Besar Perolehan KTMB Mohd Hider Yusoff dilaporkan berkata, kos keseluruhan 13 unit tren DMU membabitkan 52 gerabak itu nanti adalah berjumlah RM380 juta.
Mohd Hider berkata, pihaknya sedang memandu uji tren DMU daripada pelbagai aspek khususnya keselamatan dan tahap kesediaan set sebelum ia dapat digunakan sepenuhnya nanti.
Selain itu pada masa sama, KTMB memerlukan kepakaran khas pemandu tren kerana DMU adalah kereta api yang lebih maju serta moden. – Bernama