Home Nasional Pantai Cenang kembali meriah selepas tiga bulan sepi tanpa pengunjung

Pantai Cenang kembali meriah selepas tiga bulan sepi tanpa pengunjung

Suasana di Pantai Cenang, Langkawi, Kedah. foto AFIQ RAZALI, 13 JUN 2020

PULAU LANGKAWI – Hampir tiga bulan lengang dan sunyi ekoran penularan wabak Covid-19 yang melanda negara, kini Pantai Cenang, Langkawi kembali ‘hidup’ dengan kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara.

Tinjauan MalaysiaGazette semalam mendapati kawasan peranginan terkenal itu seperti ditiup semangat baharu apabila orang ramai mula memenuhi pesisiran pantai sambil beriadah bersama keluarga dan rakan.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu yang membenarkan perjalanan rentas negeri dipercayai menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan bilangan pengunjung di lokasi tumpuan awam tersebut.

Walaupun aktiviti sukan air seperti jet ski, permainan ‘banana boat’ dan parasailing masih belum dibuka kepada umum namun para pengunjung masih memenuhi pantai peranginan itu sambil bersiar-siar, berjoging serta mandi-manda.

Suasana kehadiran pengunjung yang semakin meningkat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan oleh kerajaan pada 10 Jun yang membolehkan perjalanan rentas negeri di Pantai Cenang, Langkawi, Kedah. foto AFIQ RAZALI, 13 JUN 2020

Dalam pada itu, masih terdapat kedai makan, ‘food truck’ dan juga agensi pelancongan yang belum beroperasi seperti sedia kala dan hanya beberapa premis sahaja dibuka kepada orang awam.

Rata-rata penduduk tempatan turut dilihat melepaskan kerinduan dengan bersantai di sepanjang pesisir pantai tersebut setelah sekian lama tidak dapat berbuat demikian sepanjang penguatkuasaan PKP.

Menurut seorang pekerja hotel, Fariz Aswad, dia berharap sektor pelancongan di pulau terkenal itu dapat beransur pulih setelah mengalami ‘kemarau’ yang agak panjang ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pekerja Swasta, Fariz Aswad bercakap kepada lensa Malaysia Gazette susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan oleh kerajaan pada 10 Jun yang membolehkan perjalanan rentas negeri di Pantai Cenang, Langkawi, Kedah. foto AFIQ RAZALI, 13 JUN 2020

Katanya lagi, walaupun tiada ketibaan pelancong asing di kawasan tersebut namun jumlah pengunjung tempatan yang hadir berkemungkinan dapat menghidupkan semula sektor perhotelan di sekitar Pulau Langkawi.

“Semua maklum bahawa Covid-19 ini belum pulih sepenuhnya namun kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan harus dimanfaatkan dengan baik misalnya menyokong dan merancakkan semula industri perhotelan.

Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menikmati panorama matahari terbenam di persisiran pantai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Cenang, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JANUARI 2019

“Walau di mana kita berada, sudah pasti perlu lebih berhati-hati dan ia merupakan normal baharu yang perlu dibiasakan dalam kehidupan seharian,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kebanyakan sektor perhotelan di negara ini telah dibuka secara berperingkat semenjak pelaksanaan PKPB dan pengusaha perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara sepanjang premis mereka beroperasi. – MalaysiaGazette