Home Nasional Zoo ditutup jika ada kes Covid-19

Zoo ditutup jika ada kes Covid-19

Gelagat orang utan ketika tiada pengunjung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Zoo Negara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Zoo Negara atau mana-mana tempat rekreasi akan ditutup sekiranya berlaku kes jangkitan Covid-19 di kawasan tersebut.

Untuk mengelakkan penutupan itu, semua tempat rekreasi diingatkan sekali lagi supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador selepas pengunjung Zoo Negara berhimpit-himpit menyaksikan pertunjukkan aksi haiwan tular di media sosial.

Katanya, Abdul Hamid telah menyatakan komitmen untuk menghantar polis ke sana untuk memantau.

Ismail meminta orang ramai menghargai kebebasan yang diberikan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tetapi bukan dengan melakukan apa sahaja.

“Kalaupun mahu beriadah mesti mematuhi SOP. Kelonggaran yang diberikan boleh ditarik balik jika ia mendatangkan bahaya kepada keselamatan orang ramai.

“Kebebasan perlu dijaga bersama-sama. Kalau ada kes Covid-19, zoo akan ditutup semula,” tegasnya dalam sidang media hari ini.

Semalam tular rakaman video di tempat pertunjukan di Zoo Negara yang sesak dengan orang ramai tanpa mematuhi SOP penjarakan sosial.

Malah, ada dalam kalangan pengunjung termasuk kanak-kanak tidak memakai penutup hidung dan mulut.

Menurut Ismail lagi, orang ramai perlu bertindak sebagai polis kepada diri sendiri semasa berada di luar demi keselamatan sendiri dan masyarakat. – MalaysiaGazette