KUALA LUMPUR – Pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tertangguh akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dibuat mulai 22 Jun ini.
Pembayaran kepada semua penuntut dijangka akan selesai dibuat selewat-lewatnya pada akhir bulan Disember 2020, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia diarahkan untuk mempercepatkan pemprosesan bayaran balik GST melalui kaedah “bayar dahulu dan audit kemudian bagi syarikat terpilih” berdasarkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 dan juga kriteria tertentu.
”Kerajaan berharap keputusan ini dapat membantu aliran tunai pelbagai sektor perniagaan di dalam tempoh pemulihan ekonomi yang amat mencabar ini.
“Usaha ini selaras dengan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang diperkenalkan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette