Home Ekonomi Eksport getah April susut 10.2%

Eksport getah April susut 10.2%

KUALA LUMPUR – Eksport getah asli Malaysia pada bulan April 2020 berjumlah 40,596 tan metrik, menurun sebanyak 10.2 peratus berbanding 45,198 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Destinasi utama eksport getah asli adalah China iaitu 48.9 peratus daripada jumlah eksport pada bulan April 2020 diikuti Jerman (12.1%), Amerika Syarikat (6.2%), Iran (5.3%) dan Taiwan (3.5%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport tertinggi adalah bagi item sarung tangan getah dengan nilai RM1,984.4 juta iaitu peningkatan 11.6 peratus berbanding Mac 2020.

Malaysia mengeksport sarung tangan tertinggi kepada Amerika Syarikat sebanyak
97,905 tan metrik pada April 2020 berbanding 24,737 tan metrik pada Mac 2020.

Ia merupakan peningkatan 295.8 peratus, diikuti oleh China (28.8%) dan Jerman (9.9%).

Peningkatan ini didorong oleh permintaan yang tinggi disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Menurutnya, pengeluaran getah asli mengalami peningkatan sebanyak 0.3 peratus pada April 2020 kepada 34,616 tan metrik berbanding bulan sebelumnya (34,506 tan metrik).

Perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan peningkatan 2.0 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette