Home Utama Industri kereta sewa, teksi Langkawi hampir hilang 100% pendapatan

Industri kereta sewa, teksi Langkawi hampir hilang 100% pendapatan

Lambakan kereta sewa yang tersadai di tempat parkir di Terminal Feri Pulau Langkawi, Kedah selepas jumlah kemasukan pelancong merudum ekoran pandemik Covid-19. foto AFIQ RAZALI, 14 JUN 2020

PULAU LANGKAWI – Syarikat kereta sewa dan teksi di destinasi pelancongan terkenal ini terjejas teruk sehingga hampir kehilangan sumber pendapatan bulanan akibat penularan pandemik Covid-19.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Terminal Jeti Kuah mendapati lambakan kereta sewa memenuhi kawasan parkir berikutan tiada pelanggan.

Pengurus Moonlight Bay Langkawi Vacation, Faisol Ayob berkata, syarikat agensi pelancongan yang berada di terminal ini sangat terkesan dengan wabak Covid-19 yang melanda negara dan perniagaan mereka terjejas sehingga 99 peratus kerana langsung tiada permintaan.

Faisol Ayob“Kita redha apa yang berlaku sekarang tetapi dalam masa sama kita minta kerajaan lebih prihatin terhadap kami yang menyumbang banyak dalam industri pelancongan di Langkawi ini.

“Jadi kami mohon sama ada kerajaan negeri atau persekutuan mengadakan lebih banyak promosi berkaitan pelancongan yang merupakan punca utama ekonomi rakyat di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini.

Abdul Rahman Din

Dalam pada itu, Pengurus Rahman Dream Star, Abdul Rahman Din turut mengadu nasib tentang kemerosotan pendapatan sehingga terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menampung perbelanjaan harian.

“Bermula awal Mac lalu kami terputus pendapatan sehingga terpaksa mencari pekerjaan lain seperti berniaga, ada yang menjadi nelayan buat sementara waktu dan sampai satu tahap menjual kereta yang disewakan demi mencari wang.

“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, barulah saya boleh menyambung semula operasi perniagaan namun memerlukan modal yang tinggi kerana banyak kereta rosak akibat terlalu lama tidak digunakan, selain perlu memperbaharui insurans serta cukai jalan.

“Kemasukan pengunjung selepas kerajaan umumkan kebenaran rentas negeri juga sedikit sebanyak dapat membantu kami,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus MRP Travel Tours, Azlee Abu Bakar menjelaskan operasi kereta sewa bergerak agak perlahan sejak hujung tahun lepas dan ditambah pula dengan penularan Covid-19 di Malaysia kira-kira tiga bulan lalu selain penguatkuasaan PKP.

Azlee Abu Bakar

“Pelanggan yang ada sekarang merupakan pelanggan tetap misalnya pembekal dan mereka yang bekerja dengan jabatan kerajaan,” katanya.

Penularan wabak Covid-19 bukan sahaja memberi kesan mendalam terhadap operasi kereta sewa malahan pemandu teksi turut sama terkena tempias kehilangan pendapatan bulanan.

Pemandu teksi, Mohamed Nasir Hassan berkata, sepanjang PKP penumpang sememangnya berkurangan dan ada kalanya langsung tidak ada.

Mohamed Nasir Hassan

“Tapi sekarang saya turut daftar sebagai pemandu Grab, jadi ini alternatif yang ada untuk cari duit belanja.

“Kami hanya bergantung kepada sektor pelancongan, kalau ada pelancong ada lah, kalau tidak memang sangat terkesan dari segi pendapatan.

“Hutang kereta perlu dibayar, rumah sewa dan perbelanjaan harian anak-anak. Pendapatan memang tidak menentu kadang-kadang dapat RM20 atau RM30 kadang kala tak dapat langsung.

“Memandangkan musim Covid-19 sekarang, teksi-teksi hanya berada di parkir sahaja dan nasib pemandu semuanya sama sahaja kerana kami bergantung 100 peratus kepada pelancong dari luar negara yang datang ke pulau ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. bila rezeki melimpah hampa sembelih pelancung tempatan .. letak harga tak masuk akal..harga ala ala yahudi bila keadaan jadi lagu nih.. hampa bising..semoga ia menjadi iktibar..saya melihat ini sebagai satu ingatan pada yang sering lupa diri..

Comments are closed.