Home Nasional KKM saring Covid-19 kepada individu ada 3 kriteria sahaja

KKM saring Covid-19 kepada individu ada 3 kriteria sahaja

Jangkitan baharu Covid-19 bertambah lagiĀ  hari ini dengan 26,534 kes dilaporkan.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Ujian saringan Covid-19 hanya dijalankan terhadap ke atas seseorang individu yang memenuhi tiga kriteria ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ketiga-tiga kriteria berkenaan yang wajib dipenuhi seseorang individu sebelum boleh dilibatkan dalam saringan adalah individu dalam siasatan atau disyaki jangkitan (PUI), individu yang baru pulang dari luar negara dan kontak rapat yang terdedah dengan individu yang disahkan positif.

Ujian saringan Covid-19 tidak dijalankan sewenang-wenangnya ke atas semua individu secara percuma tanpa benar-benar wujud keperluan untuk berbuat demikian, katanya.

KKM juga tidak akan menjalani saringan Covid-19 secara percuma kepada orang ramai dan mereka yang ingin mendapatkannya melalui khidmat klinik atau hospital swasta.

“Kita di klinik dan hospital KKM hanya menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas mana-mana individu yang mempunyai salah satu dari kriteria penting sama ada berstatus PUI, baru balik dari luar negara atau kes kontak rapat dengan positif Covid-19.

“Kita tidak boleh memberikan saringan itu secara percuma kepada semua orang dan jika berbuat demikian sudah tentu semua akan datang untuk laksanakan ujian tanpa tujuan.

“Kalau individu yang tidak termasuk dalam kriteria berkenaan boleh jalani saringan mereka boleh mendapatkan khidmat di makmal swasta tetapi bukan klinik atau hospital bawah Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Noor Hisham menambah terdapat kadar pengurangan kajian sampel yang diterima oleh KKM sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, situasi penurunan itu berlaku kerana disebabkan makmal swasta yang bertanggungjawab menjalankan ujian saringan tidak menghantar keputusan kes negatif ke makmal KKM untuk merekodkan data.

“Jika dilihat semalam dan kelmarin terdapat pengurangan kes sebab makmal swasta tidak menghantar kes-kes negatif kepada kementerian.

“Mereka sebaliknya (makmal swasta) hanya memaklumkan mengenai keputusan kes positif sahaja kepada KKM menyebabkan kita tidak dapat mengemaskini positif dan negatif sampel secara bersama atau berintegrasi.

“Dari segi makmal di bawah kementerian, kita sekarang sudah ada 53 makmal ujian Covid-19 berbanding sebelum ini yang hanya 23 makmal pada awal penularan Covid-19.

“Penambahan makmal Covid-19 juga secara tidak langsung mempertingkatkan kemampuan makmal menjalankan hampir 35,000 ujian dan sampel kes sehari,” tegasnya.-MalaysiaGazette