Home Nasional Nasib Isa Samad diketahui esok

Nasib Isa Samad diketahui esok

Mohd Isa Samad dead rumours death
Mohd Isa Samad.

KUALA LUMPUR – Kes rasuah sebanyak RM3 juta yang dikaitkan dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan diketahui esok.

Mahkamah esok akan menentukan sama ada dirinya terlepas atau ada keperluan membela diri.

Sekiranya mahkamah memihak Mohd Isa, beliau akan dibebaskan dan sekiranya keputusan sebaliknya, beliau akan diperintah membela diri dengan tiga pilihan untuk menjawab pertuduhan yang dihadapinya.

Antara pilihan itu termasuklah memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi, keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh (memberi keterangan dari kandang tertuduh); dan pilihan terakhir adalah berdiam diri.

Kes itu yang dikendalikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan memberikan keputusan beliau sekitar jam 10 pagi.

Mohd Isa merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menghadapi sembilab pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pecah amanah berhubung pembelian Hotel Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak.

Ia dikatakan telah menggunakan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Setelah mendengar hujahan kedua-dua pendakwaan dan pembelaan, Mohd Nazlan kemudian membuat ketetapan keputusan akan di umum olehnya esok.

Kes rasuah berprofil tinggi itu juga telah dibicarakan sejak 7 Oktober tahun lalu.

Perbicaraan yang telah memakan masa 15 hari itu juga telah memanggil seramai 22 saksi pendakwaan bagi memberikan keterangan berhubung tuduhan-tuduhan dihadapi oleh Mohd Isa.

Antara saksi yang dipanggil dalam perbicaraan itu adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid Abdul Jalil, bekas pegawai khas Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip dan dua bekas Setiausaha FICSB, Cheong Choon Yin dan Nurul Uyun Abdul Jabat.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Manakala bagi sembilan pertuduhan rasuah pula didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 15 Disember 2015.

Sebelum ini, Mohd Isa Samad diikat jamin RM800,000 dengan seorang penjamin. –MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.