Home Nasional Pas perjalanan My30 bukti kebajikan rakyat diutamakan

Pas perjalanan My30 bukti kebajikan rakyat diutamakan

Orang ramai mengimbas pas perjalanan untuk menaiki LRT di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Tidak timbul soal kerugian yang perlu ditanggung oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan pengenalan pas perjalanan tanpa had My30 kepada para pengguna pengangkutan awam asalkan kebajikan rakyat dijaga.

Oleh itu, Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kerugian syarikat tersebut yang memperkenalkan pas perjalanan tanpa had My30 tidak perlu dibangkitkan atau dijadikan isu.

Sebaliknya, menurut beliau, yang paling utama rakyat diutamakan.

Tajuddin menambah, meskipun Prasarana mengalami penyusutan penumpang semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak bermakna kebajikan rakyat perlu diketepikan.

Tajuddin Abdul Rahman menyentuh kad perjalanan menggunakan kad pergenalan semasa melakukan tinjauan hari penjualan Pas Perjalanan Tanpa Had MY30 di LRT KL Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2020

“Syarikat ini syarikat kerajaan, produk ini diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat yang menggunakan pengangkutan awam.

“Berapa kerugian, tidak ada masalah tentang kerugian tetapi yang menerima keuntungan adalah para penumpang. Penumpang untung, rakyat suka hati kerajaan pun senang hati,” katanya yang membuat tinjauan pelaksanaan pas perjalanan My30 di KL Sentral yang bermula hari ini.

Eksklusif  kepada rakyat Malaysia dan hanya untuk tempoh enam bulan sahaja, Prasarana membuka pembelian pas perjalanan My30 untuk memberikan lebih penjimatan kepada penggunanya selama 30 hari.

Dengan hanya RM30 atau RM1 sehari, warga kota boleh menggunakan perkhidmatan ketiga-tiga rangkaian LRT Laluan Ampang, Lauan Seri Petaling dan Sunway, semua bas Rapid KL di Lembah Klang dan Selangor termasuklah MRT.

Pengguna boleh melanggan pakej My30 ini di semua 122 stesen LRT, MRT, monorel, MRT termasuklah 5 hab bas Rapid KL di Pasar Seni, Seksyen 2 Shah Alam, Greenwood Terminal Kajang dan Sri Nilam.

Tajudin dalam pada itu yakin dengan adanya pas perjalanan My30,  jumlah pengguna pengangkutan awam akan meningkat seperti sebelum pelaksanaan PKP.

“Kita harap ia membantu ramai penumpang kita, yang dianggarkan kalau keadaan wabak Covid-19 semakin pulih jumlah pengguna pengangkutan awam akan kembali normal kepada 700,000 hingga 800,000 penumpang satu hari.- MalaysiaGazette