Home Sukan Tiba masanya Cavani, Silva berpisah dengan PSG

Tiba masanya Cavani, Silva berpisah dengan PSG

Edinson Cavani (kiri) dan Thiago Silva akan meninggalkan PSG akhir kempen Liga Juara-Juara Eropah Ogos ini.

PARIS – Edinson Cavani dan Thiago Silva sudah membuat keputusan untuk meninggalkan Paris Saint Germain pada akhir kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Penyerang antarabangsa Uruguay, Cavani, 33 merupakan penjaring terbanyak PSG apabila menjaringkan 200 gol setakat ini dan bintang pertahanan Brazil Silva merupakan kapten pasukan gergasi Perancis itu.

“Ia adalah satu keputusan sukar untuk diambil, mereka adalah pemain yang memahat nama dalam sejarah kelab ini.

“Kisah mereka bersama kelab begitu indah, tetapi ya kita sampai ke penghujung dan tiba masa untuk berpisah,” kata Pengarah Sukan PSG, Leonardo kepada Le Jounal du Dimanche.

Tambah Leonardo, pihaknya kini pada kedudukan mengambil keputusan yang logik dan memanfaatkan semua pihak.

“Mungkin kita salah, saya tidak pasti, lagipun tidak pernah wujud saat yang sempurna.

“Memandangkan kempen Liga Juara-Juara masih ada dan idea kelab untuk membenarkan mereka meneruskan sehingga kempen tamat.

“Namun bagaimana kami nak melaksanakan proses itu masih belum jelas lagi,” tegas Leonardo.

Kontrak kedua -dua pemain prolifik itu tamat pada 30 Jun ini dan mereka merasakan tiba masa untuk mencari cabaran baharu,

Ligue 1 telah dibatalkan pada April lalu bagaimanapun Liga Juara-Juara Eropah diteruskan sehingga akhir Ogos ini tanpa penonton di stadium.-MalaysiaGazette