Home Pendapat Bersedia hadapi pasca moratorium

Bersedia hadapi pasca moratorium

Gambar hiasan

KERAJAAN telah memperkenalkan inisiatif pelaksanaan moratorium bagi semua
pembayaran semula pinjaman oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana
(PKS) bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020. Tempoh ini dijangka akan
berakhir pada 30 September 2020. Secara umumnya, langkah melaksanakan
moratorium ini adalah bertujuan untuk memberikan bantuan kewangan sementara
kepada peminjam sewaktu krisis Covid-19. Kita tidak menafikan betapa moratorium
ini membantu meringankan beban pengguna dan perniagaan kecil berikutan impak
daripada pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas
ekonomi negara. Namun isu besar sekarang ialah apakah para peminjam sudah
bersedia untuk berhadapan dengan cabaran selepas tempoh pelaksanaan moratorium
ini berakhir iaitu cabaran pasca moratorium.

Penulis percaya majoriti anggota masyarakat terutamanya peminjam individu dari
kalangan kelompok berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) serta peniaga
PKS telah mengambil dan bersetuju untuk menerima kemudahan moratorium ini bagi
memenuhi keperluan aliran tunai semasa Covid-19. Hal ini demikian kerana kelompok ini adalah antara segmen masyarakat yang terjejas teruk angkara serangan wabak tersebut. Kehidupan seharian mereka cukup terhimpit dan memerlukan aliran wang tunai di tangan untuk menampung keperluan harian diri dan keluarga. Jadi tindakan mengambil moratorium pada ketika itu sememangnya dilihat sebagai satu keperluan yang mendesak dan merupakan tindakan yang tepat, tambahan pula mereka tidak mempunyai banyak pilihan kerana tiada sumber pendapatan lain dan juga tiada tabung simpanan untuk digunakan.

Jadi berbaki beberapa bulan lagi menjelang berakhirnya tempoh kelulusan
moratorium tersebut, adalah wajar untuk setiap peminjam memikirkan secara serius
cabaran yang bakal dihadapi selepas tempoh tersebut berakhir pada 30 September
2020. Cabaran terbesarnya ialah mulai Oktober kita perlu memulakan jadual
pembayaran balik pinjaman seperti biasa.

Kebimbangan utama ialah bagaimana dengan nasib individu yang sudah
diberhentikan kerja oleh majikan yang terjejas teruk akibat Covid-19. Misalnya, mengikut laporan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia, kadar pengangguran Malaysia untuk April tahun ini melonjak kepada lima peratus dengan 778,800 orang penduduk direkodkan tiada pekerjaan. Antara sebab utama ialah kerana penutupan operasi sebahagian besar perniagaan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
Jadi bagaimana mereka yang kehilangan kerja ini mampu membayar balik pinjaman
mulai Oktober jika dalam tempoh beberapa bulan ini tidak memperoleh sebarang
peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang cukup untuk menampung diri dan
keluarga serta cukup untuk membayar balik pinjaman?

Ini bakal menjadi cabaran yag cukup besar kepada setiap individu yang sedang
menganggur dan sukar memperoleh peluang pekerjaan. Jangan lupa bilangan
pekerja yang terpaksa diberhentikan oleh majikan semakin meningkat. Malah kita
risau bilangan ini bakal melonjak naik selepas Oktober andai PKS yang turut
menikmati moratorium tidak mampu pulih kembali di mana mereka juga akan
memilih jalan untuk memberhentikan pekerja sebagai strategi mudah untuk
mengurangkan kerugian dan kos operasi. Maka kadar pengangguran akan terus meningkat dan golongan yang diberhentikan kerja ini pasti tidak boleh membayar
balik pinjaman mereka.

Hakikatnya belum ada sebarang tanda yang meyakinkan bahawa menjelang bulan
Oktober keadaan ekonomi negara dan dunia akan kembali pulih serta membuka lebih
banyak peluang pekerjaan. Dalam hal ini sememangnya kita berharap sangat agar
segala inisiatif yang diumumkan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dapat memberikan hasil yang dijanjikan dengan segera. Namun, tatkala Penjana membuka ruang yang diperlukan, kita tetap perlu bersiap siaga untuk mengharungi segala kemungkinan yang bakal berlaku menjelang Oktober nanti. Dalam konteks ini kita juga tidak boleh berharap sangat agar tempoh moratorium ini akan dilanjutkan lagi kerana kita sendiri tidak pasti bila ekonomi akan pulih semula dan bila kita boleh dapat pekerjaan yang diperlukan. Cuba bayangkan menjelang Oktober kita masih menganggur dan pinjaman perlu mula dibayar balik. Apa akan jadi kepada kehidupan kita pada ketika itu?

Oleh itu adalah disarankan kepada semua peminjam agar gunakanlah kemudahan
moratorium bulan Jun hingga September ini secara berhemat agar ianya boleh
dijadikan bekalan sementara untuk mengharungi cabaran pasca moratorium. Harus
diingat, cabarannya bukan saja perlu bayar balik pinjaman, tetapi juga keperluan
sumber kewangan untuk menampung kehidupan diri dan keluarga.

Pada masa yang sama, bagi yang sedang menganggur, usahalah sungguh-sungguh
untuk mencari peluang pekerjaan agar kita boleh meneruskan survival kehidupan
mulai Oktober nanti. Dalam situasi sekarang jangan sesekali memilih pekerjaan. Bagi
pengusaha PKS pula, fikirlah dari sekarang bagaimana boleh meningkatkan
perniagaan masing-masing. Misalnya, pengusaha PKS wajar meneroka peluang
perniagaan secara dalam talian menggunakan pelbagai platform digital yang mula
menjadi norma baharu masyarakat kita.

Tuntasnya, para peminjam bakal berhadapan dengan cabaran yang besar mulai
Oktober nanti. Justeru, jangan sesekali membazir mahupun berfoya-foya dengan
kemudahan aliran tunai yang ada di tangan pada masa sekarang sebaliknya perlu
berjimat cermat, mengutamakan keperluan dari kehendak, sekali gus merancang
untuk keperluan pasca moratorium kelak.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

 

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed,
Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

1 Komen

Comments are closed.