KUALA LUMPUR – Filem tempatan yang berkisar mengenai alam Melayu, kebudayaan dan agama mampu menjulang negara ke tahap lebih tinggi termasuk memenangi anugerah Oscar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata pemain industri filem negara dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), perlu merangka strategi dan perancangan berkesan jika ingin mencapai sasaran tersebut.
“(Ia) Satu projek yang boleh eksport budaya jati diri ke peringkat antarabangsa. Tidak semestinya mengaut untung. Matlamatnya adalah patriotisme. Kaedah pelaksanaan, saya serahkan kepada kumpulan profesional daripada saudara-saudari. Mesti ada sasaran dan perbaharui tekad.
“Ini mungkin pemangkin atau ilham. Jika ditonton di sini, mungkin boleh lonjakkan semangat patriotik dan jika ditayangkan di luar negara, ia berkenaan jati diri kita,” katanya sewaktu melawat FINAS di Petaling Jaya, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Saifuddin berkata mereka boleh mengguna pakai sasaran dalam bidang sukan bagi mendapatkan pingat emas seperti di peringkat Olimpik, Komanwel dan Asia, sebagai kriteria untuk layak ke Oscar dan perlu menyusun strategi untuk menjayakan misi itu.
Beliau berkata kerajaan juga sedia membantu pengusaha bidang filem dan produksi negara yang sudah mempunyai nama, selain mereka dalam kategori inkubator dan kategori khas bagi memajukan industri perfileman Malaysia.
Saifuddin berkata pemain industri tempatan boleh menjadikan contoh negara lain yang telah berjaya membawa filem mereka ke Oscar, untuk menyahut cabaran tersebut dan merealisasikannya jika ingin mengangkat filem tempatan ke taraf antarabangsa.
“Seharusnya kandungannya perlu selaras dengan dasar kreatif negara, etika penyiaran, dasar kerajaan dan dihasilkan dengan perancangan sebaik-baiknya,” katanya.
Terdahulu, dalam lawatan ke Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini, Saifuddin berkata kemahiran “multitasking” perlu diterapkan jika ingin melonjakkan pemain industri penyiaran, kewartawanan dan kreatif negara ke tahap lebih tinggi.
“Terdapat keperluan untuk melahirkan individu dan kumpulan yang bukan sahaja mahir dalam bidang masing-masing malah mampu membuat keputusan penting demi kemajuan industri mereka …perlu membangunkan kumpulan pengurus-seniman, seniman-pengurus, penulis-pengurus, pengurus-penulis dan yang berkaitan,” katanya.- BERNAMA