SEOUL – Tentera Pyongyang sudah bersedia untuk mengambil tindakan jika kumpulan pembelot di Korea Selatan meneruskan kempen dengan mengirim risalah propaganda ke Korea Utara, kata agensi berita KCNA.
Pegawai tertinggi tentera Korea (KPA) berkata, pihaknya telah mengenal pasti “pelan tindakan” untuk memasuki semula zon-zon bebas tentera di bawah pakatan antara Korea dan “mengubahnya menjadi kubu.”
“Tentera kita akan bertindak pantas dan menyeluruh melaksanakan setiap keputusan dan perintah oleh parti dan pemerintah,” kata KPA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi KCNA.
Ketegangan meningkat ketika Pyongyang mengancam untuk memutuskan hubungan antara Korea dan mengambil tindakan balas terhadap risalah-risalah yang membawa mesej kritik terhadap pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un termasuk pelanggaran hak asasi manusia.
Beberapa kumpulan yang dipimpin oleh pembelot kerap menghantar brosur, bersama makanan, radio mini dan USB yang mengandungi drama dan berita Korea Selatan, biasanya melalui belon di sempadan atau di dalam botol yang hanyut di tepi sungai.
Pada Sabtu lalu, Kim Yo Jong, saudara perempuan Jong Un yang bertugas sebagai pegawai kanan Parti Pekerja memerintahkan tentera bersiap sedia untuk tindakan selanjutnya.
Korea Selatan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua kumpulan pembelot, mengatakan mereka telah mencetuskan ketegangan rentas sempadan, menimbulkan risiko bagi penduduk yang tinggal di sempadan dan menyebabkan kerosakan alam sekitar.
Tetapi kumpulan berkenaan mahu meneruskan kempen yang dirancang pada minggu ini.
Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in mendesak Pyongyang untuk mematuhi perjanjian damai yang dicapai oleh kedua-dua pemimpin itu dan kembali ke berdialog. – MalaysiaGazette