KUALA LUMPUR – Sesi persekolahan masih belum dibuka kecuali pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan peperiksaan umum yang lain susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan sehingga 31 Ogos ini untuk membendung penularan wabak Covid-19.
Meskipun begitu, pelaksanaan PKPP itu bukan alasan untuk para pelajar tidak meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran seperti kebiasaan.
Ini kerana, kaedah pembelajaran atas talian sudah menjadi alternatif baharu untuk pelajar mendapat ilmu, selain di sekolah sahaja.
Bagi memastikan pembelajaran dan pengajaran matematik diteruskan sepanjang PKPP ini, Maths Digger Learning Solutions (Maths Digger) masih meneruskan kelas online.
Siti Murnira Mohamed yang lebih mesra disapa Cikgu Murnira berkata, sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, Maths Digger telah menyusun strategi pembelajaran secara online dengan menggunakan aplikasi zoom setelah program bengkel matematik yang sepatutnya diadakan sempena cuti sekolah pada Mac lalu tidak dapat dilaksanakan.
Cikgu Murnira yang mempunyai pengalaman mengajar matematik selama hampir 20 tahun berkata, pembelajaran secara online diteruskan untuk memastikan anak-anak didiknya terus menguasai dan skor A dalam matematik biarpun dalam situasi mencabar akibat pandemik Covid-19.
”Demi mengekalkan momentum pelajar, saya dan guru-guru Maths Digger sentiasa mewujudkan suasana belajar seperti di dalam kelas.
”Kami akan mengajar sesuatu topik dan kemahiran, diikuti dengan soalan pengukuhan yang perlu dijawab oleh setiap pelajar. Dengan kaedah ini sesi pembelajaran secara dua hala dapat diwujudkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Cikgu Murnirah berkata, komunikasi antara guru dan pelajar sangat penting dalam memastikan semua pelajar menguasai setiap kemahiran yang disampaikan.
Jelasnya, pendekatan itu adalah kaedah terbaik dalam pembelajaran dan pengajaran subjek matematik.
Cikgu Murnirah bukan calang-calang guru kerana beliau memiliki kepakaran mengajar dalam mata pelajaran tersebut dengan pengalaman 11 tahun di sekolah menengah.
Sesuai dengan kelayakan beliau sebagai guru inovasi, Cikgu Murnira telah membantu melahirkan beratus-ratus pelajar yang skor A dalam subjek ‘killer’ itu.
Untuk memantapkan penguasaan dan kefahaman para pelajar dalam matematik, sesi pembelajarannya tidak terhad dengan buku sahaja sebaliknya aktiviti pengajarannya dipelbagaikan.
Ini termasuk aktiviti kuiz dan permainan matematik bagi menarik perhatian dan keseronokan pelajar agar tidak mudah merasa bosan belajar subjek tersebut.
Malah, beliau akan memastikan suasana kelas ceria dan kondusif supaya para pelajar sentiasa rindu untuk hadir ke kelasnya.
Memahami perasaan pelajar-pelajarnya yang rindu dengan suasana persekolahan dan bertemu dengan rakan-rakan, baru-baru ini Cikgu Murnira mengadakan kelas online bertemakan ‘back to school’ dengan semua pelajar diminta memakai pakaian seragam sekolah lengkap.
“Mereka sungguh ceria dan bersemangat mengenakan uniform sekolah masing-masing walaupun dalam kelas online,” katanya ketika berkongsi cerita dengan MalaysiaGazette.
Tidak lokek dengan ilmu matematik yang dianugerahkan, Cikgu Murnirah sering berkongsi tips dan aktiviti pembelajaran secara online di halaman Facebook iaitu Maths Digger Mdls dan Facebook Murnira Mohamed, juga di Instagram mathsdigger.official.
Sebagai guru yang berpengalaman, Cikgu Murnirah tidak dapat dinafikan kaedah pembelajaran atas talian menawarkan banyak manfaat kerana tiada batasan jarak dan bilangan peserta yang melayarinya.
Paling utama, pelajar lebih mudah fokus disebabkan tiada sebarang gangguan daripada rakan-rakan.
Malah, ibu bapa juga dapat memantau dan mengenal cara anak-anak belajar serta sukatan mata pelajaran terkini yang mereka pelajari. – MalaysiaGazette