Home Ekonomi Sektor kewangan Islam cecah RM3 trilion tahun ini

Sektor kewangan Islam cecah RM3 trilion tahun ini

Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Sektor kewangan Islam negara dijangka mengekalkan pertumbuhan dua digit hingga mencecah hampir RM3 trilion pada tahun 2020 di bawah Pelan Induk Pasaran Modal kedua, menurut Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Pengerusi Bursa Malaysia Bhd itu berkata, industri dana Islam negara telah menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan.

Sehingga Mac tahun ini, dana Syariah bernilai RM170 bilion mewakili 23% daripada jumlah aset industri di bawah pengurusan (AUM) sementara nilai aset bersih (NAB ) dana amanah saham Syariah berjumlah RM99 bilion mewakili sekitar 23% daripada keseluruhan NAB industri.

“Promosi berterusan oleh industri pengurusan aset telah membantu menyumbang kepada kesedaran yang lebih besar mengenai pelaburan Syariah kepada sekumpulan pelabur yang lebih luas.

“Terdapat peluang inovasi dan pengembangan produk untuk menyediakan rangkaian produk berasaskan Syariah yang lebih luas untuk industri ini,” kata Abdul Wahid dalam ucaptama pada Persidangan Maya Pelaburan Syariah 2020 di sini hari ini.

Malaysia diakui secara meluas kerana kehadapan dalam kewangan Islam, memimpin dalam mempromosikan bertanggungjawab secara sosial berdasarkan nilai bersama dengan kewangan Islam, katanya.

Malaysia adalah pasaran ketiga terbesar bagi produk-produk kewangan Islam global dan menerbit sukuk terbesar dunia.

Pada tahun 2019, Malaysia menduduki tempat pertama dari segi AUM dana Islam dengan 34% daripada penguasaan global, katanya.

Bursa Malaysia juga, kata Abdul Wahid telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin global untuk penyenaraian dan pelaburan Syariah.

“Bursa Malaysia-i, platform pelaburan patuh Syariah yang lengkap menawarkan pelbagai kemudahan berkaitan pertukaran termasuk perkhidmatan penyenaraian, perdagangan, penjelasan, penyelesaian dan penyimpanan.

“Disokong oleh 16 broker Islam, Bursa Malaysia-i menawarkan kepada para pelabur akses kepada spektrum peluang yang luas di Bursa Malaysia,” katanya.

Pada Mei 2020, sebanyak 732 daripada 932 atau 79% syarikat tersenarai di Bursa Malaysia adalah patuh Syariah, dengan permodalan pasaran Syariah merangkumi 70% daripadamodalan pasaran sebanyak RM1.6 trilion. katanya. – MalaysiaGazette