Home Nasional Berjaya eratkan hubungan dua hala dengan Arab Saudi

Berjaya eratkan hubungan dua hala dengan Arab Saudi

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

KUALA LUMPUR – Berjaya mengeratkan semula hubungan dua hala Malaysia dengan beberapa negara merupakan antara kejayaan 100 hari Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Antara negara terbabit terutama Arab Saudi, UAE, India dan China, katanya.

“Selain itu, Wisma Putra juga berjaya memudahcara urusan pulang lebih 20,000 rakyat kita yang terkandas di 73 negara.

“Malah, saya secara peribadi sedang berusaha memposisikan Wisma Putra dan warganya sebagai pihak yang penting kepada agenda negara. Kalau duhulu, warga Wisma Putra diiktiraf di bawah kepimpinan saya, saya mahu mereka lebih diiktiraf, insyaAllah!” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hishammudin, menerusi hubungan erat dengan banyak negara dan keakrabannya dengan rakan sejawat, usaha Wisma Putra memudahcara urusan pulang sebanyak 20, 220 rakyat Malaysia dari 73 negara yang terkandas di luar negara ekoran Covid-19 berjalan lancar.

Selain itu, beliau juga telah memperhalusi pelbagai bentuk kerjasama menerusi perbualan atas talian dengan lebih 20 pemimpin tertinggi luar negara.

“Biarpun lawatan rasmi ke luar negara ditangguhkan ekoran Covid-19 namun kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk berkaitan Covid-19 antara Malaysia dengan banyak negara tetap dapat diperhalusi, menerusi sidang video dengan rakan sejawat serta kunjungan hormat Duta Negara ke atas Menteri dan Timbalan Menteri Luar,” katanya.

Demi memastikan keselamatan petugas barisan hadapan Wisma Putra di seluruh dunia semasa krisis Covid-19 – inisiatif baharu, Malaysia Diplomatic Equipment Stockpile dilaksanakan.

Hasil inisiatif itu, pelbagai peralatan perubatan diagihkan kepada mereka oleh Wisma Putra tanpa perlu menggunakan peralatan perubatan milik kerajaan, katanya lagi.

Kementerian Luar Negeri berjaya mengumpul lebih 300,000 peralatan.

“Kerana penghormatan dan keakraban, banyak negara menyumbang peralatan perubatan kepada Malaysia melalui Wisma Putra. Sumbangan ini telah mengupayakan frontliners khususnya petugas kesihatan memerangi Covid-19
habis-habisan,” ujarnya.

Malaysia yang kian aktif bersuara dan melibatkan diri dalam agenda keamanan, perpaduan serta keselamatan di peringkat serantau dan dunia.

Ia telah menyerlahkan lagi peranan Malaysia dalam ASEAN, NAM dan Komanwel sejak akhir-akhir ini.

“Kelantangan Malaysia menyuarakan pendirian termasuk perihal berkaitan hak Palestin telah meningkatkan penghormatan negara anggota OIC terhadap Malaysia,” kata Hishammuddin.- MalaysiaGazette