CHINI – Sebanyak 10 borang pencalonan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, telah dibeli daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, borang itu telah dibeli sehingga jam 5 petang tadi.
“Saya difahamkan sudah 10 borang yang telah diambil setakat ini.
“Sudah ada yang telah membayar deposit RM8,000,” katanya setelah membuat lawatan di Pusat Penamaan Calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pekan hari ini.
Borang pencalonan PRK DUN Chini mula dijual sejak 15 Mei lalu di pejabat SPR Pahang dan di Pejabat Daerah dan Tanah Pekan.
Sebelum ini, Pengarah SPR Pahang Datuk Zamree Hamli berkata, empat borang dibeli wakil Barisan Nasional (BN), manakala empat lagi oleh wakil Bebas.
PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur, akibat serangan jantung.
SPR pada 15 Mei lalu menetapkan PRK DUN Chini diadakan pada 4 Julai dengan 20 Jun sebagai hari penamaan sementara 30 Jun depan sebagai hari pengundian awal.
Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim memperoleh 5,405 undi dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR dengan 1,065 undi. – MalaysiaGazette
Orang muda dan warga penwroka buka mata fikiran…60 tahun perlu ubah….kepada yang baru untuk generasi yang terbela