KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menafikan sebarang tuduhan salah laku dan penyelewengan ketika menjawat jawatan Pengerusi Yayasan Sabah antara tahun 2003 sehingga tahun 2018.
Beliau dalam satu kenyataan melalui peguamnya, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata, bukan sahaja dirinya menyangkal tuduhan salah laku malah menafikan tuduhan beliau telah melanggar tanggungjawab fidusiari sebagai Pengerusi Yayasan Sabah.
“Saya membuat kenyataan ini sebagai balasan kepada kenyataan yang dibuat oleh Haji Jamalul Kiram di sidang media yang mana ianya diedarkan kepada media pada awal hari ini.
“Tuduhan yang dibuat terhadapnya hari ini adalah bersifat skandal dan palsu sama sekali.
“Selain daripada itu, perbuatan mengeluarkan kenyataan yang bertujuan untuk mendakwa melalui media adalah mencurigakan, tidak teratur dan tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Tengku Fuad, pihak yang memulakan kes harus membuat penyampaian dokumen kepada defendan atau peguam lantikannya.
“Dalam kes ini, Tan Sri Musa Aman tidak diberi sebarang dokumen termasuk saya sendiri. Saya mendapati bahawa tindakan mereka ini sungguh pelik walhal dokumen boleh dihantar ke pejabat saya ataupun ke tempat kediaman beliau.
“Berkemungkinan, tuntutan melalui media ini adalah bermotifkan politik semata-mata dan juga aksi publisiti yang dirancang untuk mengalihkan perhatian dan mengelirukan orang ramai.
“Walau apa pun, saya diarahkan untuk menerima tuntutan saman ini dan akan memberi komen lebih lanjut pada waktunya,” tegasnya.
Hari ini Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah memfailkan tuntutan terhadap Musa Aman bagi menuntut RM872 juta dipercayai hak milik Yayasan Sabah yang hilang disebabkan perjanjian aktiviti pembalakan meragukan.
Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria mendedahkan tuntutan itu telah difailkan melalui sistem e-filing di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Jun lepas.
“Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah mempunyai sebab-sebab kukuh untuk mempercayai bahawa Tan Sri Musa Aman menggunakan jawatannya untuk mengarah anak syarikat Yayasan Sabah iaitu Rakyat Berjaya Sdn Bhd bagi tujuan perniagaan balak.
“Dalam tuntutan mahkamah itu, kami telah menamakan beberapa penerima dan transaksi melibatkan wang dalam beberapa akaun luar pesisir yang kami tuntut melalui proses perundangan,” katanya dalam sidang media mengenai perkara itu di sini, hari ini. –MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Yayasan Sabah fail tuntutan RM872 juta didakwa milik yayasan itu daripada Musa Aman