KUALA LUMPUR – Di mana-mana sahaja sekarang banyak orang menjual durian.
Ia semakin banyak terutama selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di mana rentas negeri dibenarkan.
Malah di media-media sosial, ramai warganet berkongsi pengalaman membeli, mengutip dan memakan Raja Buah di seluruh negara.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati semakin banyak gerai menjual durian di ibu kota baik di gerai mahupun di tepi-tepi jalan.
Salah seorang peniaga, Abdul Man, 62, berkata, durian kampung kini paling laku dijual memandangkan harganya lebih murah dan sedap.
“Ada lima jenis durian dijual di sini iaitu Musang King, IOI, Kampung Special, Udang Merah dan juga D24.
“Permintaan paling hangat buat waktu sekarang ini ialah Durian Kampung kerana harganya yang lebih murah berbanding durian-durian yang lain,” ujarnya.
Durian pelbagai jenis itu dijual dalam lingkungan harga RM90 hingga RM2o sekilo berdasarkan kualiti dan jenisnya dan dijangka harganya semakin menurun sekiranya lambakan durian semakin banyak.
Mengenai rungutan harga durian masih tinggi walaupun kini sudah banyak orang menjualnya namun bagi seorang lagi peniaga, Zahidan Zabri, 25, buah itu tidak lagi semahal berbanding beberapa bulan lalu.
“Kalau nak diikutkan harga dulu dan sekarang lebih tak banyak beza. Mungkin lebih murah sekarang disebabkan banyak bekalan durian,” jelasnya.
Tinjauan mendapati ada sesetengah pelanggan berkira-kira ketika membelinya dan mencari jenis durian yang harga tidak terlalu mahal dan ada juga yang sanggup mengeluarkan berapa sahaja wang diperlukan semata-mata mahu menikmati buah bermusim itu.
Bagi seorang pembeli, Muhammad Dzull Iswary, 24, ketika ditemui pula mengakui harga durian di sekitar Lembah Klang masih mahal berbanding di luar bandar.
“Kalau macam di Kelantan, pada saya, harga lebih murah sedikit. Mungkin di sini agak mahal kerana di kawasan bandar kerana peniaga pun kena bayar tapak dan kos penghantaran yang menyebabkan kenaikan harga sedikit,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, orang ramai masih membelinya walaupun harga agak tinggi kerana mereka tertarik kerana mereka pengemar durian.- MalaysiaGazette