Home Utama Warga emas, pesakit kronik dibenarkan ke masjid tapi perlu ikut SOP

Warga emas, pesakit kronik dibenarkan ke masjid tapi perlu ikut SOP

Para jemaah menunaikan solat jumaat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan penjarakan sosial berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan wabak Covid - 19 di Masjid Jamek Al- Amaniah Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 12 JUN 2020

PUTRAJAYA – Golongan warga emas dan pesakit kronik dibenarkan ke masjid meskipun mereka dalam kategori berisiko tinggi.

Bagaimanapun, mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelak daripada dijangkiti Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Sekarang ini kita membenarkan kehidupan seharian mereka bermula kembali tetapi kena pantau. Jangkitan Covid-19 ini memang terkawal tetapi masih ada risiko, walaupun ia sangat rendah.

“Apabila risiko rendah, kita membenarkan semula pembukaan masjid. Kalau mereka pergi ke rumah ibadat, itu kena patuh kepada SOP sedia ada dan kerap cuci tangan serta pemakai pelitup muka,” katanya pada sidang media Covid-19 di kementeriannya, di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkenaan Covid-19 di Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 19 JUN 2020

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham berkata, tiada bukti ikan atau haiwan menjadi punca penularan Covid-19 di Beijing, China sejak minggu lalu, sebaliknya kesimpulan diperoleh setakat ini mungkin berkaitan faktor kebersihan.

Katanya, jika dilihat kes di Beijing, kesimpulan diperoleh setakat ini ia berkaitan dengan kebersihan dan bukan disebabkan makanan atau haiwan.

“Kesimpulan dijalankan di peringkat awal mungkin ia ada kaitan dengan kebersihan, namun apa yang penting pastikan mengambil langkah pencegahan.

“Jaga kebersihan semasa berniaga di pasar dan sebagainya tetapi kajian tetap dijalankan ke atas haiwan dan ikan,” ujarnya.

Sebelum ini, Norway dan China mencapai kata sepakat, ikan salmon diimport dari Oslo kemungkinan bukan punca penularan Covid-19 di Beijing sejak minggu lalu.

Sumber protein dari Norway itu dikaji di China selepas muncul kes baharu Covid-19 yang ditemui pada papan pemotong yang digunakan untuk memotong salmon diimport. – MalaysiaGazette