Home Sukan Malaga City ikat pemain remaja Malaysia

Malaga City ikat pemain remaja Malaysia

Foto Twitter Malaga City.

KUALA LUMPUR – Selepas Luqman Hakim Shamsudin dan Omar Raiyan Kama Azlan, dunia bola sepak terus dikejutkan dengan pengumuman sebuah akademi bola sepak antarabangsa iaitu FC Malaga City di Sepanyol apabila mengikat kontrak seorang lagi pemain remaja negara, Allee Putra.

Berita itu diumum secara rasmi melalui laman sosial Twitter akademi yang berpangkalan di Malaga dengan memberi fokus kepada pembangunan pemain muda apabila mereka memiliki dua buah skuad dalam kategori pembangunan – U19 dan U21.

Allee yang baru berusia 15 tahun dan merupakan bekas pemain Perlis Bawah 15 Tahun bermain di posisi tengah menyerang.

Sementara itu, skuad U19 Akademi Malaga City adalah sebuah pasukan yang mengumpulkan pemain-pemain muda dari pelbagai negara dan banyak mengatur perlawanan dengan akademi profesional dengan kekerapan yang tinggi.

Skuad U23 pula adalah platform yang menyediakan transition dari bola sepak remaja kepada senior dan dikatakan sesuai untuk pemain menyesuaikan diri baik dari segi fizikal serta permainan.

Akademi bola sepak antarabangsa ini juga mempunyai pasukan seniornya sendiri yang dikenali dengan nama Almunecar City FC dan berdasarkan pemerhatian kami, skuad ini sedang beraksi dalam saingan Andaluza Primera Division iaitu liga bola sepak divisyen 6 di Sepanyol.

Bagaimanapun, akademi ini tiada kena mengena dengan pasukan La Liga Iaitu Malaga CF dan mungkin ramai yang salah faham berkenaan perkara ini kerana kedua-dua identiti adalah berlainan diantara satu sama lain.

Namun Akademi FC Malaga City ini menyediakan pelbagai fasiliti bola sepak selain kemudahan pembelajaran dengan yuran yang telah ditetapkan.

Apa pun, kehadiran Allee mampu untuk membuka minda pemain-pemain muda dan senior lain untuk lebih berani berhijrah serta membuktikan bahawa pemain Malaysia juga mampu memberikan saingan di Eropah khususnya. – MalaysiaGazette