Home Nasional PRK Chini: SPRM buka bilik gerakan

PRK Chini: SPRM buka bilik gerakan

Petugas kesihatan melakukan kerja-kerja disinfeksi di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini menjelang hari penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, bilik gerakan itu ditempatkan di dua lokasi iaitu di Kompleks SPRM Pahang Peti Surat 6000, Bandar Indera Mahkota, 25200 Kuantan.

“Bilik ini beroperasi pada waktu pejabat dan Pejabat Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Chini Satu, 26690 Pekan beroperasi 24 jam.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui talian Hotline PRK Chini 013-5485988/09-5716000 atau e-mel kepada [email protected],” katanya kenyataan itu.

Dalam pada itu, SPRM juga mengingatkan kepada calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012). – MalaysiaGazette