Home Politik Kita jumpa di mahkamah, kata Shafie

Kita jumpa di mahkamah, kata Shafie

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menolak tuntutan Tan Sri Musa Aman supaya Yayasan Sabah membayar ganti rugi fitnah sebanyak RM1 bilion dan membuat permohonan maaf kerana mengumumkan secara terbuka saman bernilai ratusan juta ringgit terhadap diri beliau.

Mohd Shafie memberitahu Musa bahawa beliau “akan berjumpanya di mahkamah” selepas mengesahkan yayasan milik kerajaan negeri itu telah menerima notis tuntutan tersebut, seperti laporan FMT.

Semalam, peguam Musa, Tengku Fuad Ahmad berkata, satu notis tuntutan telah dihantar kepada yayasan berkenaan dengan menamakan Shafie sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah dan 2 pemegang amanah, iaitu Jamalul Kiram Mohd Zakaria dan Douglas Lind.

Katanya, Musa mahu mereka membayar kepada badan kebajikan pilihannya wang sebanyak RM1 bilion dalam tempoh 24 jam selepas menerima notis berkenaan.

Mereka juga dikehendaki menulis surat permohonan maaf tanpa syarat kepada Musa dan menarik balik kenyataan yang dibuat sebelum itu, katanya.

Notis tuntutan itu adalah susulan pendedahan Jamalul pada Jumaat bahawa yayasan berkenaan memfailkan saman terhadap Musa bagi mendapatkan wang berjumlah RM872 juta yang didakwa hilang semasa beliau menjadi pengerusi lembaga pemegang amanahnya.

Jamalul berkata, lembaga pemegang amanah percaya dana itu hilang susulan aktiviti pembalakan yang meragukan.

Hari ini di kawasan Parlimennya di Semporna, Shafie berkata, “ya, kami telah terima notis tuntutan mereka menyaman kami RM1 bilion. Tetapi takpa, kita jumpa di mahkamah.

“Ini bagi kepentingan rakyat Sabah dan mereka perlu tahu apakah yang berlaku ke atas kekayaan yang dimiliki oleh Yayasan Sabah.”

Dalam perkembangan lain, ketua menteri itu berkata, kerajaan negeri membeli 15 juta pelitup muka dan pensanitasi untuk diedarkan kepada orang ramai, termasuk mereka yang membuat persiapan untuk kembali ke sekolah apabila ia dibuka semula.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Musa Aman tuntut RM1 bilion, permohonan maaf tanpa syarat daripada Shafie Apdal