Home Nasional Op Alkohol: 5 suspek memandu mabuk dicekup

Op Alkohol: 5 suspek memandu mabuk dicekup

Anggota Trafik dari IPD Petaling Jaya melakukan ujian pernafasan Alkohol dalam Op Alkohol yang dilaksanakan di beberapa lokasi utama di daerah tersebut tengah malam tadi.

KUALA LUMPUR – Lima individu yang didapati melakukan kesalahan kerana memandu kenderaan dalam keadaan mabuk diĀ  ditahan polis tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua lima individu itu ditahan dalam sekatan jalan raya Op Alkohol.

Katanya, operasi semalam antara jam 11 malam hingga 3 pagi tadi terdiri daripada sepasukan pegawai dan anggota polis IPD Serdang.

“Operasi kali ini menumpukan beberapa buah lokasi di dalam kawasan Petaling Jaya yang berobjektif membanteras dan mencegah pemandu yang memandu atau menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol sekali gus membahayakan keselamatan dan membawa kematian kepada orang lain.

“Sepanjang operasi malam tadi seramai 501 orang pengguna jalan raya dan 467 kenderaan telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu seramai lima lelaki berusia antara 30 hingga 49 tahun telah ditahan pihak polis kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi daripada had yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama katanya, polis turut mengeluarkan sebantyak 22 saman ke atas pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik.

Menurutnya kesemua mereka yang telah ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol disiasat di bawah Seksyen 45(A) 1 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Hasil tinjauan semalam menunjukkan masih ada pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Bagaimanapun, Polis Petaling Jaya tidak akan berkompromi dalam hal ini dan akan terus melaksanakan operasi berkenaan khususnya kepada semua pengguna jalan raya yang melalui kawasan-kawasan di dalam pentadbiran polis daerah ini (Petaling Jaya),” tegasnya.- MalaysiaGazette