KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta menyediakan langkah-langkah tambahan dengan segera agar dapat mengurangkan jumlah pengangguran dalam kalangan rakyat.
Langkah ini bertujuan mengelakkan peningkatan jumlah individu bankrap, selain memastikan tiada rumah yang didiami rakyat dilelong oleh bank akibat kegagalan membayar ansuran bulanan dan yang paling penting menyelamatkan ekonomi rakyat dan negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun kerajaan telah membenarkan kebanyakan premis perniagaan dan industri komersial menjalankan perniagaan dengan norma baharu tetapi penutupan beberapa sektor seperti perhotelan dan perkhidmatan serta pengecilan operasi perniagaan syarikat besar sangat membimbangkan.
Apatah lagi, tempoh morotarium berkaitan pinjaman perumahan dan sewa beli kenderaan bagi meringankan bebanan rakyat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bakal tamat pada 30 September ini, sekali gus memberi bebanan kepada rakyat yang masih menganggur selepas tempoh morotarium tamat.
”Adakah negara ini bakal melihat peningkatan jumlah rakyat yang tidak dapat membayar ansuran bulanan dengan pihak bank terutama berkaitan pinjaman perumahan dan sewa beli kenderaan,” soalnya.
Bagaimanapun, menurut Ahmad Zahid, perkara ini hanya boleh dijawab apabila ada laporan berkaitan pertambahan jumlah berkaitan individu bankrap, rumah dilelong, penarikan kereta dan sebagainya pada hujung tahun ini atau awal tahun 2021.
Sekiranya perkara ini berlaku ianya pasti akan memberi tekanan bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada institusi kewangan dan juga negara.
Katanya, rakyat pada waktu ini bukan sengaja tidak membayar hutang atau pinjaman dengan pihak bank, tetapi ianya disebabkan mereka tidak mempunyai pekerjaan dan masih menganggur.
”Ramai yang mengadu dengan saya dan menyatakan bahawa mereka sudah berusaha sebaik mungkin untuk mencari pendapatan baru atau menambah pendapatan, tetapi cabaran yang dihadapi kini sangat tinggi terutama bagi mereka yang berniaga kecil-kecilan, mereka yang sudah berumur sewaktu diberhentikan kerja dan amat sukar untuk mencari kerja baru di usia yang agak senior.
”Ada yang cuba berniaga tetapi persaingan yang tinggi dan sikap rakyat yang masih berhati-hati untuk berbelanja dan banyak lagi aduan yang diterima oleh mereka yang tidak bernasib baik.
”Saya mengakui dan memberi kredit di atas usaha yang dibuat oleh kerajaan bagi membantu rakyat terutama berkaitan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) PRIHATIN, Pakej Rangsangan Khusus PKS, Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan yang terbaharu Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan oleh TNB.
”Bagaimanapun, melihat kepada situasi semasa dan peningkatan kadar pengangguran rakyat, saya memohon kepada , saya memohon kepada kerajaan untuk menyediakan langkah-langkah tambahan dengan segera agar kita dapat mengurangkan jumlah pengangguran dalam kalangan rakyat,” ujarnya.
Beliau percaya kemampuan kerajaan dalam mencari solusi kepada masalah pengangguran yang dihadapi oleh rakyat ketika ini walaupun cabaran yang dihadapi oleh kerajaan seumpama pepatah “berat mata memandang, Berat lagi bahu yang memikul”. – MalaysiaGazette