Home Nasional Kerosakan tren di Pasar Seni punca gangguan LRT Laluan Kelana Jaya

Kerosakan tren di Pasar Seni punca gangguan LRT Laluan Kelana Jaya

Gambar Hiasan. foto SYAFIQ AMBAK, 04 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang mengalami gangguan selama lebih tiga jam pada pagi tadi berpunca daripada sebuah tren di platform Pasar Seni yang tidak boleh bergerak.

Ketua Pegawai Operasi LRT, Ismail Abdullah berkata, insiden pada pakul 9 pagi itu disebabkan masalah teknikal apabila komponen mekanikal pada sistem tren berkenaan patah menyebabkan litar pintas.

Selepas usaha menunda tren tersebut menggunakan tren lain gagal, punca kuasa terpaksa ditutup untuk memberi laluan kepada pihak penyelenggaran membuat pemeriksaan menyeluruh, katanya.

“Pemeriksaan lanjut telah mendapati komponen mekanikal iaitu traction road dan juga power collector pada sistem tren telah patah dan tersekat pada sumber kuasa trek iaitu power rail yang menghalang pergerakan tren seterusnya menyebabkan litar pintas.

“Seterusnya pihak penyelenggaran telah berjaya mengeluarkan komponen yang patah tersebut bagi membolehkan punca sumber kuasa di trek dikembalikan,” katanya pada sidang media di Kompleks Rapid Rail Subang hari ini.

Menurut beliau, dalam tempoh itu, Rapid KL pantas melaksanakan pelan perkhidmatan alternatif untuk membantu penumpang meneruskan perjalanan sejak gangguan bermula hingga pukul 12,20 tengahari tadi.

Selain itu, katanya, pelanggan yang terjejas juga ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter LRT Laluan Kelana Jaya.

“Pelan perkhidmatan alternatif itu adalah perkhidmatan patah balik dari stesen Gombak sehingga stesen KLCC. Perkhidmatan patah balik juga daripada stesen Putra Height ke stesen Bangsar.

“Perkhidmatan shuttle di Platform 1 dari Bangsar ke Masjid Jamek dan dari Masjid Jamek ke stesen KLCC,” tambahnya.

Kini katanya, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya pulih sepenuhnya pada pukul 12.20 tengahari, selepas proses memindahkan tren selesai.

Mengulas lanjut, Ismail menolak andaian penumpang berlebihan adalah punca tren berkenaan rosak.

Ismail menjelaskan, tren yang rosak di platform Pasar Seni itu telah menjalani penyelenggaran mingguan pada 5 Jun lalu.

“Bukan berlaku kerana kelebihan penumpang. Lebih kurang 100 penumpang pada masa itu. Situasi ini boleh berlaku bila objek asing yang berada di trek, kemungkinan tren langgar (objek asing itu) dan mematahkan sedikit (komponen), perkara ini masih dalam siasatan kami,” katanya. – MalaysiaGazette