Home Nasional Pahang benar perniagaan beroperasi hingga 12 tengah malam

Pahang benar perniagaan beroperasi hingga 12 tengah malam

Sebahagian premis perniagaan yang beroperasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 di Petaling Street, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pahang membenarkan semua premis perniagaan beroperasi bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam.

Dengan lanjutan tempoh beroperasi itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi amaran agar semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tambahnya pemantauan dan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi penguatkuasa lain secara konsisten.

“Kerajaan Negeri memutuskan untuk membenarkan semua jenis perniagaan beroperasi seperti biasa, tertakluk kepada waktu operasi bermula 7 pagi sehingga 12 tengah malam sahaja kecuali bagi sektor yang dibenarkan (perkhidmatan utama) mengikut Kelulusan Lesen Perniagaan Asal (stesen minyak, kilang dan pusat perubatan sahaja) dan aktiviti pasar awam (mulai jam 5.00 pagi),” katanya menerusi kenyataan.

Semua premis katanya, wajib melakukan saringan setiap hari ke atas pekerja dan pelanggan bagi mengesan gejala Covid-19 seperti demam, batuk, sakit tekak, selsema atau sesak nafas.

Pekerja bergejala perlu dirujuk ke hospital selain merekodkan maklumat keluar masuk pelanggan menggunakan aplikasi MySejahtera atau MoveOn.my setiap kali operasi.

Selain itu mengekalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter antara pelanggan/pekerja; menyediakan ‘floor marking tape’, tanda notis dan papan tanda pematuhan SOP dalam premis dan melaksanakan proses pembersihan dan disinfeksi di dalam premis.

Para pekerja dan pelanggan perlu memakai pelitup muka sebelum masuk premis dan semasa berada dalam premis dan menyediakan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan pekerja dan pelanggan,” katanya lagi.

Menurut Wan Rosdy lagi, kerajaan negeri turut  bersetuju mana-mana syarat yang tidak dinyatakan secara khusus dalam SOP negeri adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi Kerajaan Persekutuan yang berkaitan, serta akan dikemaskini dari masa ke semasa.

Sebelum ini Kerajaan Negeri Pahang hanya membenarkan semua premis perniagaan terutama restoran dan medan selera di negeri itu beroperasi bermula 7 pagi hingga 10 malam selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun yang lalu.

Pelaksanaan PKPB akan tamat pada 31 Ogos ini.- MalaysiaGazette