Home Nasional Sebutan kes bekas peguam pecah amanah ditunda 20 Julai

Sebutan kes bekas peguam pecah amanah ditunda 20 Julai

Peguambela, Zulkifli Awang hadir ke mahkamah mewakili anak guamnya, Herlina Kamisiah Sauli bagi kes pecah amanah berjumlah RM330,350.81, pada 2011 dan 2012 di Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 22 JUN 2020

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen hari ini menunda sebutan kes dan urusan serahan dokumen bekas peguam yang berhadapan dengan empat tuduhan pecah amanah kepada 20 Julai nanti.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar di Mahkamah Sesyen 4.

Tertuduh, Herlina Kamisiah Sauli, 42 tidak hadir ke mahkamah kerana sehingga kini beliau belum diikat jamin.

Dimaklumkan penjamin ibu tunggal tersebut tidak dapat memenuhi jumlah jaminan yang ditetapkan mahkamah sebelum ini iaitu RM20,000 untuk semua pertuduhan.

Dalam masa yang sama. peguam belanya Zulkifli Awang berkata, Penjara Wanita Kajang juga kini sedang menjalani  saringan Covid-19.

Untuk rekod 18 Mei yang lalu, Herlina Kamisiah mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan pecah amanah lapan tahun lalu melibatkan wang berjumlah RM330,350.81.

Beliau dituduh melakukan semua kesalahan itu pada 25 Februari, 18 September dan 9 Disember 2011 serta 1 Februari 2012 di pejabat firma guaman di Dataran Sunway, Kota Damansara.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukannya dengan niat untuk kegunaan sendiri yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesemua kesalahan itu, tertuduh  boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebih 20 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.-MalaysiaGazette