Home Nasional APMM selamatkan bot tempatan daripada ditunda pihak berkuasa Indonesia

APMM selamatkan bot tempatan daripada ditunda pihak berkuasa Indonesia

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Perak berjaya menghalang sebuah bot nelayan tempatan daripada ditunda oleh kapal milik Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP) Indonesia dekat sini, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam insiden kira-kira pukul 5.45 pagi itu, kapal milik KKP mahu menunda not nelayan tempatan kerana disyaki memasuki kawasan pertindahan perairan Malaysia-Indonesia di kedudukan 30.3 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

“Pihak APMM kemudiannya bertindak menghubungi KKP bagi melakukan usaha pelepasan bot nelayan tempatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hasil daripada rundingan itu, pihak KKP bersetuju untuk menyerahkan bot berkenaan kira-kira pukul 2.00 petang pada hari yang sama berdasarkan perkara yang ditetapkan di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Malaysia-Indonesia yang ditandangani pada 27 Jan, 2012.

Menurut Shahrizan, pihaknya sentiasa memandang serius terhadap MoU yang telah dipersetujui antara kedua-dua negara termasuk bekerjasama mengekang aktiviti penangkapan ikan dalam kawasan pertindihan Malaysia dan Indonesia.

“Pendekatan yang perlu diambil oleh agensi-agensi penguatkuasa kedua-dua negara bagi kes luar jangka dalam kawasan bertindih adalah mengarahkan bot nelayan yang dicurigai untuk meninggalkan kawasan yang disyaki melakukan kesalahan dengan melakukan komunikasi secara terbuka dengan bot nelayan terbabit,” katanya. – Bernama