CHINI – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berpuas hati dengan kempen jentera parti setakat ini kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khas yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Wan Rosdy menegaskan, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain telah menepati SOP yang telah ditetapkan.
“Kempen calon BN berjalan seperti biasa dan kita patuhi SOP dan kempen secara sihat. Setakat ini, nampak tidak ada masalah sangat dan saya tanya calon berapa ramai sudah berjumpa dan dia (Mohd Shahrim) kata 30 hingga 40 peratus sudah ditemuinya.
“Beliau akan terus bergerak sepertimana yang telah diarahkan oleh SPR. Kita tidak buat kempen secara besar-besaran di mana maksimum hanya 250 orang sahaja,” katanya kepada media selepas siri kempen rumah ke rumah di sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Salong hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) berbincang sesuatu dengan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (dua kanan) pada program ziarah sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Kampung Salong, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JUN 2020.Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kempen PRK kali ini sedikit berbeza dengan jentera yang digerakkan dalam jumlah yang minimum seperti mana yang disarankan oleh SPR.
“Kempen jalan dengan sangat minima dan tidak seperti dulu. Namun suasana pilihan raya itu tetap ada walaupun pergerakan agak terhad kenapa patuhi SOP dan tidak boleh berkumpul seperti mana dulu tapi dalam keadaan yang agak berbeza,” tambah beliau.
Ditanya samada BN akan dapat mengekalkan kerusi DUN Chini, Pengerusi UMNO Pahang itu berkeyakinan itu akan dizahirkan dengan kerjasama kukuh yang diberikan oleh Pas dalam Muafakat Nasional.
“Kita yakin melihat kepada atas kertas dan kita ada Muafakat Nasional kerana Pas bersama dengan UMNO dan BN. Namun kita akan terus berkempen dan tidak mengambil mudah tidak kira siapa yang jadi lawan kita. Usaha kita akan diteruskan bagi memastikan kita dapat majoriti yang lebih daripada biasa.
PRK DUN Chini merupakan ujian pertama Wan Rosdy selaku Menteri Besar Pahang yang dilantik memegang jawatan itu pada 15 Mei lalu. – MalaysiaGazette