Home Nasional Dua beranak Orang Asli maut kenderaan rempuh treler rosak

Dua beranak Orang Asli maut kenderaan rempuh treler rosak

PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Dua beranak Orang Asli maut manakala empat lagi cedera apabila kenderaan pacuan empat roda  (4×4) dinaiki mereka merempuh belakang treler yang berhenti di bahu jalan di Kilometer 50, Jalan Lipis-Merapoh dalam Daerah Lipis, kira-kira 250km dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor berkata, dalam nahas pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa yang maut ialah Azmah Along, 56, dan anak lelakinya Sidin Angah, 27, yang berasal dari Pos Balar, Gua Musang, Kelantan.

Kemalangan juga menyebabkan seorang lagi anak lelaki Azmah iaitu Rayes, 19, dan penumpang kenderaan 4×4 itu, Izo Aja, 13, cedera ringan manakala abang Izo, Helery, 20, cedera parah.

Pemandu kenderaan 4×4 yang berusia 43 tahun dan berasal dari Taman Kesedar Putra, Gua Musang juga cedera ringan.

“Kenderaan itu dipercayai membawa penduduk Orang Asli itu untuk ke Gombak, Selangor apabila melanggar treler rosak yang berhenti di bahu jalan.

Sidin dipercayai duduk di bahagian penumpang hadapan yang remuk teruk akibat kemalangan itu manakala Azmah duduk di belakang Sidin,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Azli berkata, pemandu dan kelindan treler yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan tidak cedera dalam kejadian itu.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis, Lipis untuk bedah siasat. – Bernama