Home Ekonomi Firma DexCom pilih Batu Kawan untuk kilang ketiga

Firma DexCom pilih Batu Kawan untuk kilang ketiga

KUALA LUMPUR – Firma DexCom Inc (Dexcom), pengeluar sistem pemantauan glukos (CGM) bagi individu yang menghidap diabetes telah memilih Pusat Industri Batu Kawan sebagai lokasi pengilangannya yang ketiga.

Ia merupakan kilang pertama Dexcom di luar Amerika Syarikat.

Naib Presiden Eksekutif Dexcom, Quentin Blackford berkata, firma yang berpangkalan di San Diego, California itu memilih Batu Kawan untuk menyokong pertumbuhan berterusan syarikat tersebut.

Katanya, syarikat global itu mendapati Malaysia sebagai lokasi yang sesuai dengan keperluan Dexcom pada masa depan.

”Lokasi baharu ini akan menyokong kemudahan kilang yang ada dan membantu Dexcom memenuhi keperluan global untuk CGM pada masa akan datang,” katanya.

Blackford menambah, dengan kemampuan menghasilkan produk bernilai tambah tinggi dan berteknologi tinggi seperti alat pacu jantung, stent, alat implan ortopedik, alat elektro-perubatan, teraputik dan alat-alat peranti pemantauan, Malaysia berupaya menjadi hab pembuatan alat perubatan di Asia.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia masih kekal sebagai destinasi pelaburan meskipun dunia kini berdepan dengan pandemik Covid-19 disebabkan oleh kepelbagaian ekonomi dan ekosistem yang komprehensif.

“Ini merupakan contoh bagaimana syarikat-syarikat global membuat keputusan pelaburan berdasarkan fundamental,” katanya.

Menurutnya, kemudahan kilang yang dicadangkan oleh Dexcom akan mewujudkan penambahan pekerjaan yang ketara selama 10 tahun akan datang, termasuk dalam pembuatan, pengurusan kemudahan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan direka untuk potensi pertumbuhan dan pengembangan dari masa ke masa.

Sehingga tahun lalu, sejumlah 402 projek alat perubatan dengan pelaburan bernilai RM20.5 bilion (AS$5.6 bilion) telah dilaksanakan di Malaysia dan mewujudkan lebih daripada 76,500 peluang pekerjaan .

Untuk tahun 2019 sahaja, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 31 projek pengilangan alat perubatan bernilai RM3.98 bilion (AS$0.97 bilion). – MalaysiaGazette