Home Utama Petronas, Sarawak dalam proses selesai pertikaian cukai jualan petroleum

Petronas, Sarawak dalam proses selesai pertikaian cukai jualan petroleum

Peguam Petronas, Datuk Malik Imtiaz Sarwar bercakap kepada media selepas menghadiri prosiding Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini berhubung Cukai Jualan Negeri (SST) di Istana Kehakiman, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 23 JUN 2020.

PUTRAJAYA – Syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) ketika ini sedang dalam proses untuk memuktamadkan terma perjanjian antara kerajaan negeri Sarawak berhubung cukai jualan ke atas produk petroleum.

Malah dijangka perjanjian itu akan dimuktamadkan selewat-lewatnya sebelum 3 Ogos ini.

Itu kata peguam yang mewakili Petronas, Datuk Malik Imtiaz Sarwar selepas prosiding sebutan kes berhubung Cukai Jualan Negeri (SST) yang sepatutnya ditarik balik selepas perjanjian itu dimeterai.

Dedah Malik Imtiaz, arahan diterima daripada anak guamnya ialah mereka mempersiapkan terma dalam perjanjian di mana terdapat keperluan proses dalaman untuk dipenuhi.

“Kami mengaku janji untuk menarik balik rayuan ini sebelum 3 Ogos depan,” katanya ringkas.

Terdahulu ketika prosiding, Malik Imtiaz memberitahu, panel tiga hakim, pihaknya memohon prosiding rayuan Petronas ditangguhkan berdasarkan surat dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan semalam.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama-sama Hakim P. Ravinthran dan Datuk Abu Bakar Jais kemudian menetapkan sebutan pada 3 Ogos depan.

Manakala Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Seri JC Fong yang wakil kerajaan negeri juga tidak membantah permohonan penangguhan itu prosiding setalah adanya aku janji bahawa Petronas akan menarik balik rayuan.

Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak, Datuk Seri J C Fong tiba di Mahkamah Rayuan bagi menghadiri prosiding Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini berhubung Cukai Jualan Negeri (SST) di Istana Kehakiman, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 23 JUN 2020.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada mendedahkan Kerajaan Sarawak dan Petronas telah berjaya mencapai kata sepakat untuk memilih penyelesaian dalam rundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai ke atas petroleum di Sarawak.

Sebelum ini, pada 13 Mac lepas Mahkamah Tinggi Kuching bertindak menolak permohonan Petronas bagi semakan kehakiman untuk mengetepikan tiga notis taksiran dikemukakan kerajaan negeri bagi menuntut pembayaran SST berjumlah RM1.3 bilion.

Petronas memohon perisytiharan bahawa SST yang dikenakan oleh kerajaan negeri Sarawak sebagai batal dan tidak sah.

Mahkamah kemudian membuat keputusan kerana mendapati Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Badan Perundangan Sabah dan Sarawak juga boleh membuat undang-undang bagi mengenakan cukai jualan, dan apa-apa cukai jualan yang dikenakan di kedua-dua negeri.

Mahkamah memutuskan ia disifatkan sebagai antara perkara yang dinyatakan dalam Senarai Negeri dan bukan dalam Senarai Persekutuan.

Difahamkam, berikutan persetujuan Petronas untuk selesaikan bayaran itu kerajaan negeri pula akan secara beransur-ansur mengurangkan kadar cukai jualan lima peratus ke yang dikenakan ke atas syarikat minyak itu. -MalaysiaGazette