Home Dunia Pyongyang pasang semula pembesar suara

Pyongyang pasang semula pembesar suara

Korea Utara memasang pembesar suara di sempadan sebagai tindak balas terhadap pembelot yang mengirimkan risalah melalui belon dan sungai. foto Agensi

SEOUL – Korea Utara memasang semula pembesar suara untuk menyebarkan propaganda merentasi sempadan dalam perkembangan terbaharu selepas negara itu mengancam memutuskan perjanjian damai antara Korea.

Tindakan Korea Utara itu turut  mendorong tentera Korea Selatan melakukan tindakan sama, menurut sumber tentera Korea Selatan.

Ketegangan antara kedua-dua Korea meningkat dalam beberapa minggu ini selepas Korea Utara memusnahkan pejabat penghubungan bersama di sempadan.

Pyongyang sebelum ini turut mengisytiharkan telah memutuskan sebarang dialog dengan jirannya dan mengancam tindakan ketenteraan.

Tentera Korea Utara dilihat sudah meletakkan pembesar suara di zon penampan (DMZ).

Menurut sumber tentera itu, pembesar suara tersebut telah diturunkan selepas kedua-dua negara menandatangani perjanjian pada tahun 2018 untuk mengakhiri ‘semua tindakan permusuhan.

“Kami juga mempertimbangkan untuk memasang semula pembesar suara kami sendiri. Tetapi setakat ini Korea Utara belum memulakan apa-apa siaran, sebaliknya hanya bersiap sedia untuk bertindak balas pada bila-bila masa saja,” tambah nya.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Seoul enggan mengesahkan langkah-langkah yang diambil oleh Korea Utara tetapi mengulangi kenyataan bahawa Pyongyang “harus membayar akibatnya” jika terus menentang usaha perdamaian bersama.

Kedua-dua negara selama beberapa dekad menyebarkan propaganda daripada penceramah-penceramah sebagai bentuk perang psikologi.

Korea Selatan menyiarkan campuran berita, lagu-lagu pop Korea dan kritikan terhadap rejim Korea Utara, sementara Korea Utara mengecam Korea Selatan dan memuji sistem sosialisnya.

Satelit komersial di kawasan pejabat perhubungan pada hari Isnin menunjukkan bangunan itu masih wujud tetapi telah mengalami kerosakan teruk.

Penganalisis di 38 North yang berpangkalan di Amerika Syarikat minggu lalu mendakwa letupan itu ‘jelas bukan letupan dikawal’, kerana bangunan itu tidak musnah sepenuhnya tetapi hanya mengalami kerosakan ketara pada bangunan bersebelahan.”

Korea Utara mula bertindak baru-baru ini selepas pembelot Korea Utara yang berada di Korea Selatan mengirimkan risalah propaganda di sempadan.

Beberapa kumpulan yang dipimpin oleh beberapa pembelot kerap menghantar brosur, makanan, bil AS$1, radio mini dan USB mengandungi drama dan berita Korea Selatan, biasanya diterbangkan menggunakan belon atau botol yang dihanyutkan melalui sungai.

Salah satu kumpulan pembelot, dipimpin oleh Park Sang-hak, yang melarikan diri dari Korea Utara pada tahun 2000, mengakui mereka menerbangkan 20 belon yang berisi 50,000 risalah dan 500 buku kecil mengenai Korea Selatan

Pemerintah Korea Selatan telah memulakan tindakan undang-undang untuk menghentikan kegiatan tersebut, dengan alasan kebimbangan keselamatan penduduk di bandar yang terletak di sempadan.

Media rasmi Pyongyang pada hari Isnin lalu memaklumkan Korea Utara juga telah menyediakan kira-kira 12 juta risalah untuk dihantar kembali. – MalaysiaGazette