KUALA LUMPUR – Lahir sebagai anak seorang pemandu bas bukan kekurangan untuk berjaya dalam akademik.
Ini dibuktikan Leftenan Muda Muhamad Fairul Roslan yang berjaya diangkat sebagai Pegawai Kadet Terbaik Tentera Darat 2020 di Majlis Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Muda Tentera Darat hari ini.
Pada majlis tersebut seramai 147 graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Tentera Darat telah menjalani latihan akademik di UPNM dan modul ketenteraan di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) telah ditauliahkan sebagai Pegawai Muda Tentera Darat berpangkat Leftenan Muda.
Majlis disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi hari ini.
Daripada 147 graduan itu 89 graduan adalah lelaki termasuk Muhamad Fairul dan 58 graduan adalah wanita yang telah menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda meliputi bidang Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan, Pengajian Strategik serta Sains Komputer.
Kenyataan media Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, jumlah itu termasuk 26 orang pegawai muda dari jurusan Perubatan.
Pada majlis tersebut Muhamad Fairul Roslan telah dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Tentera Darat.
Muhamad Fairuz menetap di Taman Arowana, Ulu Yam Bharu, Batang Kali, Selangor dan bapanya Roslan Chik bekerja sebagai pemandu bas manakala ibu, Faridah Ibrahim merupakan seorang suri rumah.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Kuasa) selain merupakan penuntut modul Latihan Ketenteraan terbaik.
“Selain aktif dalam pelbagai aktiviti dan sukan di UPNM dan antaranya adalah eco challenge, UKMHK, log race dan taekwando di Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), hasil kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang akademik berjaya membawa anugerah Penuntut Terbaik Keseluruhan TD dan ditauliahkan ke dalam Kor RAMD, kata kenyataan tersebut.
Majlis ringkas pengisytiharan dan pemakaian pangkat ini dilaksanakan bagi menggantikan Perbarisan Pentauliahan yang pada kebiasaannya dilakukan di padang kawad.
Perkara ini adalah bagi memenuhi keperluan kerajaan dalam membendung dan memutuskan rangkaian penularan Covid-19.
Majlis tersebut yang dilaksanakan secara tertutup serta penglibatan minima tanpa kehadiran ibu, bapa dan ahli keluarga sepertimana kebiasaan terdahulu, sesuai dengan norma baru serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan.
Para graduan dan tetamu yang hadir dikehendaki menggunakan hand sanitizer, menjalani saringan suhu serta mengamalkan penjarakan satu meter.- MalaysiaGazette